Berita Harian

Dua pencuri kabel dibelasah penduduk rumah panjang

-

Bintulu: Dua pencuri kabel elektrik terpaksa menempuh azab selepas dibelasah sekumpulan penduduk rumah panjang di Sungai Setulai, di sini, petang semalam, sebelum diserahkan kepada polis.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kedua-dua suspek berkenaan yang berusia lingkungan 20-an ditangkap ketika leka memotong kabel elektrik berhampira­n Rumah Panjang Timban, di sini.

Gangguan bekalan elektrik

Sejurus ditangkap, penduduk setempat yang berang dengan perbuatan mereka kerana menyebabka­n gangguan bekalan elektrik di kawasan terbabit, bertindak membelasah kedua-dua pemuda itu sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitend­an Zulkipli Suhaili, berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai kes berkenaan.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, kita mendapati kedua-dua suspek sudah ditahan oleh penduduk rumah panjang berkenaan dan diletakkan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) serta dikawal rapi bagi mengelak mereka melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek turut terbabit dalam kegiatan mencuri haiwan ternakan penduduk rumah panjang sekitar kawasan itu sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi dan direman pagi ini (semalam) bagi membolehka­n siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia