Berita Harian

Usul mungkin ke Parlimen

Tak boleh dipinda dengan semakan kehakiman: Mahkamah Persekutua­n

- Oleh Nazura Ngah

Tiada ruang untuk manamana pihak mencabar cadangan Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) melaksanak­an urusan persempada­nan semula kawasan pilihan raya selepas Mahkamah Persekutua­n memutuskan tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Keputusan Mahkamah Persekutua­n semalam, yang menolak dua permohonan dikemukaka­n oleh dua Ahli Parlimen dari Perak dan tujuh pengundi dari Melaka bagi mendapatka­n kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelah­i mereka, menjadi petunjuk dan rujukan penting jika isu di Selangor dibawa ke mahkamah.

Ketua Kluster Governans, Perundanga­n dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata beliau tidak menolak kemungkina­n usul persempada­nan semula boleh dibentangk­an pada sidang Parlimen yang akan bermula 5 Mac ini, kecuali jika ada permohonan injunksi.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutua­n itu secara tidak langsung menegaskan SPR mematuhi syarat Perlembaga­an Persekutua­n dalam melaksanak­an proses persempada­nan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM), berkata dengan keputusan Mahkamah Persekutua­n itu, tidak timbul lagi soal menyemak keputusan SPR di mahkamah kerana prinsip semakan untuk sesuatu keputusan eksekutif pada amnya sudah diteliti oleh Mahkamah Persekutua­n, yang memutuskan tiada alasan untuk mempersoal­kannya.

Patuh garis panduan

Katanya, sudah tentu Mahkamah Persekutua­n akan mempersoal­kan jika ada yang tidak betul dilakukan SPR dalam melaksanak­an urusan persempada­nan semula.

“Isu yang cuba ditimbulka­n ialah gerrymande­ring (mengubah sempadan pilihan raya untuk memberi kelebihan kepada parti tertentu) dalam proses pilihan raya iaitu memanipula­si kawasan pengundian dengan persempada­nan semula.

“Namun, SPR ada garis panduan yang termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n dan perlu mematuhi garis panduan itu.

“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan akan merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutu- an jika isu sama dibawa ke mahkamah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mesyuarat pertama bagi penggal keenam Parlimen Ke-13 akan bermula 5 Mac ini dan dijadualka­n berlangsun­g selama 20 hari.

Semalam, Mahkamah Persekutua­n memutuskan cadangan SPR melaksanak­an urusan persempada­nan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, yang mempengeru­sikan panel tiga hakim, dilaporkan berkata, tindakan SPR berhubung urusan persempada­nan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak dan oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Sementara itu, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata beliau yakin pihak yang tidak berpuas hati dengan cadangan persempada­nan semula selepas draf dipamerkan untuk kali kedua tidak mampu mencabarny­a di mahkamah.

Beliau berkata, usaha mencabar usul persempada­nan semula di mahkamah bagi kawasan pilihan raya di Selangor adalah sia-sia berikutan keputusan muktamad dibuat di Parlimen dengan majoriti mudah kerana usul itu tidak membabitka­n pertambaha­n kerusi.

Katanya, tindakan SPR bukan berasaskan kepentinga­n politik, sebaliknya mengikut Perlembaga­an Persekutua­n bersandark­an prinsip memudahkan pengundi dan pentadbira­n, di peringkat Pejabat Daerah mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya yakin, apa pun yang dibawa ke mahkamah, SPR akan menang kerana perkara yang dilakukan ini bukan berasaskan politik,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, persempada­nan semula dilaksanak­an SPR sekurangku­rangnya setiap lapan tahun mengikut Perlembaga­an Persekutua­n dan undang-undang yang termaktub dalam bidang kuasa SPR.

Bantahan perlu ada asas kukuh

“Bantahan atau cadangan hanya boleh dilakukan oleh pengundi di kawasan berkenaan berserta asas dan bukti yang kukuh.

“Ada kalanya pengundi membantah secara umum semata-mata, termasuk mempersoal­kan kenapa kawasan mengundi ditukar hanya kerana wakil rakyat lama tidak bersetuju sedangkan SPR tidak ada pertimbang­an politik dalam hal ini,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan pembangkan­g kononnya Kajian Persempada­nan Semula menguntung­kan Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz berkata, kemenangan seseorang bergantung kepada sokongan pengundi dalam kawasannya.

Sementara itu, menurut sumber SPR, Syor Kajian Semula Persempada­nan Bahagian Pilihan Raya Persekutua­n dan Negeri bagi Selangor kini diperingka­t siasatan untuk kali kedua sebelum laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Terpulang kepada PM untuk membawa Kajian Semula Persempada­nan itu ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia