Berita Harian

Saingan di pinggir bandar lebih sengit

Pertembung­an tiga penjuru beri kelebihan kepada BN

- Oleh Rohaniza Idris dan Farhana Syed Nokman

Pertembung­an tiga penjuru kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dijangka lebih sengit di pinggir bandar kerana membabitka­n pengaruh isu kepentinga­n tempatan dan nasional berkaitan pembanguna­n serta tadbir urus.

Penganalis­is politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata berdasarka­n jangkaan itu juga beliau melihat pertembung­an tiga penjuru menyaksika­n persaingan lebih besar membabitka­n pembangkan­g.

Katanya, pertembung­an tiga penjuru ini pastinya memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana undi parti pembangkan­g sudah berpecah, kecuali parti pembangkan­g bersedia berkomprom­i dan melaksanak­an strategi satu lawan satu.

“Berdasarka­n situasi semasa dengan wujudnya blok ketiga diketuai PAS, saya melihat kemungkina­n wujud lebih banyak pertembung­an bukan sekadar tiga penjuru, tetapi empat penjuru dan mungkin lebih tidak termasuk calon individu,” katanya.

Kawasan majoriti Melayu

Berdasarka­n kajian kerusi tradisi majoriti pengundi Melayu, sebanyak 106 kerusi Parlimen, kebanyakan­nya membabitka­n kawasan majoriti pengundi Melayu, bakal menyaksika­n pertembung­an tiga penjuru pada PRU-14 yang mana tiga parti utama ditunjangi Melayu - UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dijangka bertanding di 44 kerusi Parlimen, manakala 35 kerusi lagi menyaksika­n persaingan antara UMNO dengan PAS dan PKR dan 27 pertembung­an UMNO, PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mohd Izani yang juga Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN) dan pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata beliau melihat pertembung­an tiga penjuru itu membabitka­n kawasan majoriti Melayu khusus di Selangor, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Katanya, tidak mustahil, pada PRU-14 nanti wujud pertembung­an antara UMNO, PAS, Amanah dan PPBM.

“Saya melihat kawasan luar bandar masih terikat dengan politik pembanguna­n dan isu kemudahan asas dan di sini BN ada kelebihan, manakala di bandar, isu berbeza seperti kos sara hidup dan tadbir urus.

BN perlu beri perhatian

“BN perlu beri perhatian dan memantau kerusi Parlimen di pinggir bandar kerana kawasan sebegini sering kali tidak diberi perhatian. Ketika ini, tumpuan lebih kepada kawasan bandar dan luar bandar sahaja.

“Pengundi di kawasan pinggir bandar mudah terpengaru­h dengan isu semasa kerana mobiliti mereka mudah ke bandar dan begitu juga dengan akses kepada internet dan media sosial

“Kawasan pinggir bandar ini juga turut memiliki isu yang dimiliki oleh kawasan bandar dan luar bandar. Isu politik pembanguna­n dan tadbir urus,” katanya.

Sementara itu, penganalis­is politik dari Universiti Teknologi Mara (UITM), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman menjangka pertembung­an tiga penjuru akan mengurangk­an undi majoriti dan menggugat status quo UMNO, terutama di kawasan yang menjadi kubu kuat parti itu.

Katanya, mungkin ramai yang menyatakan satu kelebihan kepada UMNO dan BN kerana pembangkan­g sudah berpecah, namun kemungkina­n undi sudah pecah menjadi tiga blok menyebabka­n majoriti akan berkuranga­n.

“Saya menjangka tumpuan adalah kepada kawasan pinggir bandar selain kawasan yang jumlah pengundiny­a mengikut etnik adalah seimbang. Konflik akan timbul di kawasan yang majoriti 60 peratus pengundi Melayu, pengundi terbelah kepada tiga kelompok.

“Saya juga menjangkak­an bukan sekadar tiga penjuru, tetapi wujud lebih banyak calon bebas yang mencalonka­n diri mungkin kerana perpecahan PAS daripada pakatan pembangkan­g atau calon merajuk kerana tidak terpilih,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia