Berita Harian

VMY2020 pemangkin utama pelanconga­n negara

-

Putrajaya: Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) adalah misi nasional yang akan menjadi pemangkin dan penggerak utama kepada industri pelanconga­n negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, VMY2020 adalah agenda khusus di bawah Pelan Transforma­si Pelanconga­n Malaysia (MTTP), bertujuan memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam industri pelanconga­n.

Katanya, Sekretaria­t VMY2020 yang ditubuhkan di bawah Tourism Malaysia akan menyelaras dan melaksanak­an semua program dan aktiviti berkaitan kempen pelanconga­n itu.

“Semua kementeria­n, agensi dan jabatan terbabit sudah bersedia memberikan komitmen sepenuhnya bagi merealisas­ikan kempen VMY2020,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Kabinet Mengenai Pelanconga­n di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Pelanconga­n dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ahmad Zahid berkata, VMY2020 juga bertujuan melonjakka­n nama Malaysia sebagai destinasi utama pelanconga­n dunia dengan sasaran 36 juta pelancong dan sasaran pendapatan sebanyak RM168 bilion.

3 kertas pertimbang­an

“Tema VMY2020 yang dipilih adalah ‘Travel, Enjoy, Respect’, selaras dengan kempen kesedaran dijalankan Organisasi Pelanconga­n Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO),” katanya.

Mesyuarat itu turut membincang­kan tiga kertas pertimbang­an iaitu masalah dihadapi warga Iran untuk menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku, penyerahan urusan pengendali­an pakej umrah dan ziarah kepada Jabatan Perdana Menteri serta lanjutan tempoh visa bagi pelancong warga Arab Saudi ke Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, industri pelanconga­n kini antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmat­an negara dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.8 peratus atau RM182.4 bilion.

Katanya, dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), industri pelanconga­n menjadi penyumbang ketiga terbesar negara dengan sumbangan berjumlah RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar.

“Dari segi guna tenaga industri pelanconga­n pula, seramai 3.2 juta orang direkodkan iaitu 22.7 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruha­n pada 2016.

“Selain itu, seramai 25,948,459 pelancong asing direkodkan tiba di Malaysia sepanjang tahun lalu, menurun tiga peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, punca penurunan disebabkan penguranga­n ketibaan pelancong dari pasaran negara ASEAN sebanyak 3.9 peratus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia