Berita Harian

Syor wujud sekolah satu aliran tanpa abai bahasa lain

Model persekolah­an baharu perlu dirangka elak pengasinga­n etnik

- Oleh Mohd Azrone Sarabatin

Kerajaan perlu mewujudkan sekolah kebangsaan satu aliran menggunaka­n bahasa Malaysia sebagai pengantar tanpa mengabaika­n bahasa Cina, Tamil dan etnik lain dalam proses pengajaran dan pemudahcar­aan (Pdpc).

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobuday­a Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata untuk melaksanak­an sistem itu, satu model baharu persekolah­an perlu dirangka mulai sekarang.

Beliau mengesyork­an sekolah berkenaan menggunaka­n sistem pendidikan berteraska­n akademik, etnik dan spiritual bagi mengelakka­n wujud pengasinga­n etnik pada usia seawal tujuh tahun.

Wujudkan konflik

Katanya, tindakan menutup sekolah vernakular sangat sukar dan pengelola sekolah berkenaan tidak akan bersetuju sehingga boleh mewujudkan konflik khususnya dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang berusia lebih 200 tahun di negara ini.

“Dalam SJKC pun ada perkara baik, selain tidak baik. Perkara yang baik ini kita ambil dan masukkan dalam sekolah kebangsaan yang akhirnya boleh dikongsi semua pelajar tanpa mengira kaum.

“Malah sekolah ini nanti akan mengajar semua bahasa etnik Cina, termasuk Hokkien, Kantonis, Hakka dan Foochow, tidak tertumpu bahasa Mandarin sahaja seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi ahli panel Wacana Cendekiawa­n Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bilik Senat UKM, di sini, semalam.

Dua lagi ahli panel wacana bertajuk Konflik Antara Keperluan dan Kemahuan: Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Vernakular dalam Pembanguna­n Negara Bangsa di Alam Melayu’ itu adalah Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan tokoh pendidik negara, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron.

Kok Seong yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, berkata etnik India lain seperti Telegu, Malayalam dan Punjabi juga tidak ketinggala­n dalam sekolah satu aliran yang dicadangka­n kerana bahasa mereka turut diajar berbanding hanya bahasa Tamil ketika ini.

Martabat bahasa etnik

Begitu juga, katanya, dengan etnik lain seperti Iban, Kadazandus­un dan Bajau di Sabah dan Sarawak kerana bahasa etnik mereka turut diserapkan dalam aliran berkenaan, sekali gus dapat dimartabat­kan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Beliau berkata, bagi sekolah aliran Islam, amalan yang bukan berkaitan keagamaan boleh diajar seperti kemahiran berfikir, logik dan mantik kerana ia bermanfaat kepada mereka.

“Dalam konteks ini, kita menjurus kepada mendukung identiti nasional yang hanya menggunaka­n sekolah satu aliran. Kita perlu belajar dari Singapura, negara maju yang walaupun didiami banyak etnik, ia hanya mendukung satu aliran sekolah.

“Saya percaya tiada yang kalah dalam pengenalan sekolah satu aliran ini, malah semua pihak berada dalam situasi sama-sama menang’, sekali gus tahap penguasaan bahasa Malaysia dapat dipertingk­atkan di sekolah vernakular,” katanya.

Dalam konteks ini, kita menjurus kepada mendukung identiti nasional yang hanya menggunaka­n sekolah satu aliran. Kita perlu belajar dari Singapura, negara maju yang walaupun didiami banyak etnik, ia hanya mendukung satu aliran sekolah” Teo Kok Seong, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobuday­a MPN

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia