Berita Harian

36 ahli Geng 04 dikawal ketat lebih 100 polis

Semua suspek didakwa terbabit jenayah terancang, keganasan serius

- Oleh Shaarani Ismail dan Shamsul Kamal Amarudin

Seramai 36 individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan menganggot­ai ahli kumpulan jenayah terancang Geng 04 sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 60 tahun, didakwa menjadi ahli kumpulan itu di daerah Kinta di sini, antara 1 Januari 2015 hingga 27 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terhadap mereka, termasuk seorang individu yang menggunaka­n gelaran Datuk diterimany­a dari sebuah wilayah di negara jiran, dibaca berasingan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Mohd Izhanudin Alias di hadapan Hakim Murtazadi Amran. Tiada jaminan ditawarkan dan tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Sebut semula kes 20 Mac

Murtazadi kemudian menetapkan 20 Mac ini untuk kes itu disebut semula bagi dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, semua tertuduh dibawa menaiki lima kenderaan polis iaitu masing-masing tiga Black Maria dan dua trak dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke mahkamah, dengan dikawal ketat lebih 100 pegawai dan anggota polis pada jam 8.05 pagi.

Bagi melancarka­n pergerakan semua tertuduh, polis menutup sementara laluan membabitka­n Jalan Sultan Iskandar berhadapan IPK menghala ke Kompleks Mahkamah Sesyen di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, pada jam 8 pagi sehingga pergerakan membawa semua tertuduh selesai.

Kelmarin, Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan mengumumka­n kejayaan polis melumpuhka­n Geng 04 selepas menahan 36 pemimpin utamanya menerusi Ops Cantas Silver bermula pada jam 12 tengah malam, 27 Januari lalu.

Beliau dilaporkan berkata, operasi itu dilancarka­n Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dibantu JSJ Bukit Aman dan turut disertai Pasukan Siasatan Jenayah Penggubaha­n Wang Haram Urusetia Ketua Polis Negara, susulan beberapa siri kejadian keganasan serius termasuk bunuh, samun, khianat api dan pengedaran dadah dilakukan kumpulan itu.

Katanya, semua tertuduh terbabit dalam kegiatan jenayah terancang, termasuk pembunuhan isteri ahli perniagaan bergelar Datin Seri kira-kira dua tahun lalu.

Polis turut merampas barangan seperti wang tunai, barang kemas, hartanah dan kenderaan bernilai lebih RM4.54 juta, dipercayai milik anggota kumpulan itu.

 ?? [FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] ?? Anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah terancang dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk didakwa di Ipoh, semalam.
[FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] Anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah terancang dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk didakwa di Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia