Aliran masuk dana asing bersih pertama sejak 2012
Akaun semasa Malaysia turut catat prestasi baik tahun lalu
Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih dana asing sebanyak RM2.3 bilion tahun lalu, berbanding aliran keluar bersih dana asing RM1.1 bilion yang direkodkan pada 2016, demikian menurut MIDF Research.
Dalam laporan ekonomi hariannya, firma penyelidikan itu berkata, ia juga adalah kali pertama sejak 2012 di mana Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih dana asing.
Katanya, pada suku terakhir tahun lalu, akaun kewangan mencatatkan pemulihan daripada aliran keluar bersih sebanyak RM1.2 bilion pada suku ketiga 2017, kepada aliran masuk bersih sehingga mencecah RM5 bilion.
“Pembalikan besar aliran pelaburan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pelaburan portfolio merekodkan aliran masuk bersih yang memberangsangkan, iaitu sebanyak RM11.7 bilion.
Imbangan akaun semasa melonjak
“Pemulihan itu meningkatkan prestasi imbangan pembayaran (BOP) secara keseluruhan, susulan daripada peningkatan sentimen dalam pasaran ekuiti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MIDF berkata, imbangan akaun semasa pada tahun lalu melonjak kepada RM40.3 bilion daripada RM29 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, pada suku terakhir tahun lalu, akaun semasa Malaysia mencatat prestasi baik dengan merekod RM12.9 bilion imbangan pembayaran berbanding RM12.5 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sama pada tahun sebelumnya.
“Ini membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemberi pinjaman bersih. Malah, ia juga adalah imbangan akaun semasa terbesar sejak suku ketiga 2014,” katanya.
MIDF turut mengunjurkan Malaysia akan mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak RM39.6 bilion pada tahun ini.
“Disebabkan peningkatan daripada permintaan global dan pemulihan sederhana dalam harga komoditi, kami menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang lebih kukuh pada tahun ini, berbanding tahun lalu.
“Selain itu, dengan permintaan eksport yang kukuh, keyakinan pasaran yang meningkat dan aktiviti pelancongan yang meyakinkan, kami berasakan lebihan akaun semasa pada tahun ini akan meningkat kepada RM39.6 bilion, berbanding RM36.6 bilion pada tahun lalu,” katanya.