CIMB tambah baik aplikasi mudah alih EVA
CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) memperkenalkan beberapa ciri baharu kepada aplikasi mudah alihnya, CIMB Enhaced Virtual Assistant (EVA) yang menawarkan pengalaman penggunaan yang dipertingkatkan.
Antara ciri baharu itu termasuklah ‘Spend Analyser’ yang membolehkan pelanggan untuk menguruskan akaun lebih baik serta mampu untuk membuat keputusan kewangan bijak melalui pembayaran tunggal seperti utiliti, petrol, hiburan, makanan dan kembara menggunakan kad debit, kredit dan prabayar.
Selain itu, kebolehan perbualan CIMB EVA turut dipertingkatkan, yang mampu untuk memproses perbualan semula jadi bagi menguruskan transaksi hanya dengan arahan perbualan biasa.
Gabung penyelesaian Fintech
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta, berkata kemudahan kepada pelanggan adalah keutamaan syarikat dan kejayaan CIMB EVA adalah bukti komitmen untuk meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi pelbagai platform perbankan.
“Penambahbaikan terbaru itu juga adalah sebahagian daripada strategi digital CIMB bagi menggabungkan penyelesaian teknologi kewangan (Fintech) dengan kemampuan analisis data dalaman,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Dilancarkan pada Disember 2016, CIMB EVA menawarkan penggunaan perkhidmatan perbankan mudah alih yang lebih mudah kepada pelanggan yang membolehkan mengakses akaun serta transaksi melalui perbualan atau kata kunci sahaja.
Samir berkata, penambahbaikan terbaru itu juga adalah hasil kerjasama dengan FinTechs Moneythor dan Active.ai.
“Kerjasama ini bakal memperkenalkan lebih banyak peningkatan pada masa akan datang, termasuk data sebenar yang membolehkan promosi pintar untuk ditawarkan kepada pelanggan,” katanya.