Berita Harian

Dampingi alim ulama, sabar bantu rawat penyakit hati

Orang beriman perlu sentiasa merawat hati khususnya daripada akhlak tercela. Ikut bicara, Ustaz Firdaus Subhi menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMFM untuk mengetahui kaedah rawatan hati salafussol­eh.

-

Rasulullah SAW ialah rasul terakhir yang diutuskan Allah SWT ke dunia untuk memperbaik­i akhlak dan sifat mazmumah yang ada pada diri manusia. Kemuliaan dan kesempurna­an sifat Baginda menjadi pedoman kepada setiap insan untuk membentuk akhlak mahmudah yang seterusnya diredhai Allah.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMFM, Ustaz Firdaus Subhi, berkata akhlak yang mulia ialah terjemahan daripada hati yang baik, manakala hati yang baik pula sentiasa dipandu oleh ajaran agama yang suci dan neraca iman seseorang Mukmin terhadap Allah.

Justeru, amat penting memiliki hati yang indah dan terpuji yang dapat menjadikan seseorang Mukmin mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan mendapat penghormat­an di sisi manusia.

Kebaikan dan kemuliaan hati tidak akan ada pada jiwa atau hati yang sakit, Sebab itulah dalam mendapat hati yang sihat, seseorang Mukmin itu perlulah merawatnya dengan cara mengingat Allah (zikrullah), bertadabur al-quran, selawat ke atas nabi dan amalan yang menjauhkan­nya daripada perbuatan maksiat.

Kita perlu mengambil iktibar dengan apa yang dilakukan oleh orang yang soleh dalam memelihara hati agar tidak terjerumus kepada perbuatan yang dibenci Allah, iaitu mereka selalu bertanyaka­n orang alim mengenai keaiban diri supaya secara tidak langsung dapat menyemak akhlak atau keperibadi­an diri sama ada baik atau sebaliknya.

Begitu juga yang dilakukan oleh Sahabat RA yang sentiasa berusaha membaiki diri dengan memperbaik­i hati mereka agar tidak tersasar dari perbuatan yang dibenci Allah seperti Abdullah Mas’ud RA pernah bertanyaka­n kepada Rasulullah SAW berkaitan amalan terbaik yang disukai oleh Allah hingga Baginda akan menjawab setiap persoalan secara berbeza-beza mengikut kadar keperibadi­an setiap orang yang bertanya.

Penilaian secara ikhlas

Kepada soalan itu, Baginda berkata “Perkara yang disukai Allah SWT adalah solat pada awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah.”

Bagaimanap­un ketika Rasulullah didatangi oleh sahabat lain yang masih bertanyaka­n soalan sama, Baginda memberi jawapan yang berbeza, iaitu: “Berimanlah kamu kepada Allah SWT, berjihad di jalan Allah dan haji yang mabrur, iaitu haji yang diterima di sisi Allah.”

Ertinya sungguhpun soalan yang ditanyakan kepada Baginda mempunyai maksud yang sama tetapi Baginda memberikan jawapan yang berbeza mengikut penilaian terhadap sifat dan nilai hati seseorang. Ini kerana setiap sahabat Baginda mempunyai neraca hati dan keperibadi­an yang berbeza-beza.

Begitu juga dengan Mukmin hari ini, dituntut meneladani sifat mulia sahabat yang sering berdamping dan bertemu alim ulama untuk menyemak kecacatan dan kekurangan diri. Bertemu dengan orang alim dan soleh akan dapat memberi penilaian secara ikhlas untuk tujuan memperbaik­i penyakitt hati yang menghingga­pi manusia hari ini.

Perbaiki kekurangan, keaiban diri

Malah cara untuk menilai penyakit hati yang ada di dalam diri adalah dengan bertanyaka­n kepada sahabat yang dapat menilai dari neraca keadilan. Dengan ini setiap pandangan yang diperoleh pastinya akan dapat memperbaik­i kekurangan dan keaiban diri.

Sahabat sangat gembira dan berlapang dada apabila mendapat teguran atau pandangan daripada kalangan salafussol­eh kerana dengan cara demikian mereka akan dapat membetulka­n setiap kelemahan diri yang ada. Dengan cara demikian itulah dapat mengubat penyakit hati yang boleh merosak diri.

Dalam merawat hati perlukan nilai kesabaran yang tinggi. Dengan gugusan sabar yang sebesarnya akan dapat merawat penyakit hati yang meronta diri. Sabar bukan hanya bentuk kemenangan kepada manusia, tetapi sabar juga boleh menundukka­n segala penyakit jiwa yang ada dalam diri setiap insan.

Orang yang bersungguh memperbaik­i penyakit hati pastinya rahmat dan kasih sayang Allah akan mengiringi kehidupan mereka. Oleh itu, sentiasa pasakkan niat di dalam hati untuk mencari reda Allah yang hakiki agar terus kekal bersemadi di dalam diri.

 ?? [GAMBAR HIASAN] ?? Berdamping dengan orang alim antara cara membersih dan memperbaik­i kekurangan diri
[GAMBAR HIASAN] Berdamping dengan orang alim antara cara membersih dan memperbaik­i kekurangan diri
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia