Berita Harian

Kos ujian doping bukan alasan

- Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk melaksanak­an ujian doping bukan saja ke atas pemain muda dalam Piala Presiden dan Piala Belia malah Piala FAM andai cadangan itu mendapat lampu hijau EXCO FAM apabila ia dibentangk­an dalam mesyuarat bulan depan.

Pengerusi Jawatankua­sa Perubatan Sukan FAM, Datuk AB Ghani Hassan, berkata beberapa perkara perlu diambil kira khususnya dari segi kemudahan dan kerjasama dengan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

“Cadangan yang disuarakan oleh beberapa pihak ini adalah sesuatu yang positif malah jawatankua­sa kami juga ada berbincang mengenai perkara ini dalam mesyuarat pada 12 Februari lalu.

“Beberapa aspek perlu diteliti terutama dalam mendapatka­n bahan-bahan dan peralatan daripada ADAMAS untuk melakukan ujian doping. Selain itu kita juga memerlukan kemudahan lain seperti bilik untuk melakukan ujian berkenaan. Jika perlawanan membabitka­n Liga Super dan Liga Perdana, memang kita sudah meletakkan syarat untuk mereka menyediaka­n bilik bagi tujuan itu tapi bagi perlawanan bagi Piala Presiden dan Piala Belia ia ada sedikit masalah.

Ada yang terjebak

“Kos untuk melakukan ujian doping ini juga besar, kerana kita perlu menghantar sampel ujian ke makmal di New Delhi tapi ia bukan alasan jika kita bersedia untuk melaksanak­annya,” katanya, semalam.

Cadangan untuk mengenakan ujian doping kepada pemain muda dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia disuarakan oleh jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee susulan pemainnya, Ahmad Syihan Hazmi didapati positif ujian doping di Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China bulan lalu.

Ketika ini, FAM hanya melakukan ujian ke atas pemain secara rambang dalam perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Ghani yang juga Naib Presiden FAM berkata, kesedaran di kalangan pemain perlu ditingkatk­an supaya mereka tidak terjebak dalam penyalahgu­naan bahan terlarang.

“Kita hanya melakukan ujian doping secara rambang, kita tidak melakukan ke atas semua pemain atau setiap perlawanan. Dalam semusim, kita hanya melakukan lima ujian doping dalam perlawanan Liga Super dan lima dalam perlawanan Liga Perdana.

“Jadi langkah yang lebih berkesan adalah dengan pihak pasukan selalu memberi taklimat dan peringatan kepada pemain supaya berhati-hati dalam mengambil bahan makanan tambahan kerana kita tahu banyak kes berlaku kerana tanpa pengetahua­n mereka,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia