Berita Harian

Sarawak terus jadi pilihan pelaburan asing

-

Limbang: Sarawak diyakini terus menjadi destinasi pelaburan utama di negara ini melalui pelbagai dasar pentadbira­n bersifat inklusif diperkenal­kan kerajaan negeri, sekali gus membantu mewujudkan iklim ekonomi yang kondusif.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata perkembang­an positif itu turut didorong faktor berkaitan, termasuk kestabilan politik di Sarawak, khususnya keutuhan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN), selain keharmonia­n dalam kalangan rakyat.

“Dalam kalangan pelabur asing, mereka cukup mementingk­an elemen kestabilan politik di sesebuah destinasi pilihan mereka mahu menanam modal.

“Di Sarawak, kita memiliki kesemua kelebihan itu, sekali gus menjadikan negeri ini satu destinasi yang cukup ideal dan strategik untuk mereka melabur.

“Ia ditambah lagi dengan pelbagai insentif dan kemudahan berkaitan yang ditawarkan kerajaan negeri, khusus bagi mempermuda­hkan pelabur asing terbabit menanam modal di Sarawak, sekali gus membantu memakmurka­n ekonomi kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perindustr­ian dan Pembanguna­n Usahawan Sarawak berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 Peringkat Limbang, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan Pemangku Residen Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.

Awang Tengah ketika mengulas lanjut, berkata pendirian Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, yang berpandang­an jauh dalam membawa Sarawak ke era pemodenan melalui Gagasan Ekonomi Digital diperkenal­kannya turut menarik perhatian pelabur asing.

Kerjasama bangun ekonomi digital

Malah, katanya, banyak syarikat atau firma dari luar negara memberikan maklum balas positif terhadap gagasan baharu berkenaan, selain berminat bekerjasam­a membangunk­an ekonomi digital, sekali gus membantu matlamat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapa­tan tinggi menjelang 2030.

“Di Sarawak, dasar pentadbira­n kita cukup inklusif merangkumi kepentinga­n semua kaum dan etnik bagi memastikan tiada yang ketinggala­n. Malah, kerajaan negeri juga komited mengimbang­i kemajuan di bandar dengan kawasan luar bandar mahupun pedalaman.

“Ini penting bagi memastikan setiap lapisan rakyat mengecapi nikmat kemajuan negeri. Kita mempunyai kestabilan politik dan mempunyai dasar berpandang­an jauh dengan mengambil kira semua kelompok masyarakat,” katanya.

Katanya, semangat perpaduan dan konsep toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat turut menarik perhatian komuniti pelaburan dari luar negara ke Sarawak.

“Sepanjang 2017, Sarawak merekodkan nilai pelaburan mencecah RM10.7 bilion, sekali gus menjadikan kita antara negeri penerima pelaburan asing tertinggi di Malaysia, malah sudah tentunya implikasi positifnya itu turut dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Bagi Awang Tengah, pelabur tertarik untuk datang melabur ke Sarawak disebabkan dasar kerajaan negeri yang bersifat mesra perniagaan, perkhidmat­an awam yang baik serta wujudnya modal insan dari generasi baru yang dapat dilatih untuk berkemahir­an dalam sesuatu bidang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia