Berita Harian

20 Mac keputusan semakan semula

Mahkamah arah pendakwa, pembela fail hujah 6 Mac

- Oleh Mohd Roji Kawi

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 20 Mac depan untuk keputusan bagi permohonan semakan semula bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Teo Chee Kong yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan berkaitan kes pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Nurcahaya Arshad menetapkan tarikh itu dan mengarahka­n kedua-dua pihak pendakwa serta pembelaan untuk memfaikan hujah mereka pada 6 Mac ini.

Nurcahaya turut menetapkan 27 Februari untuk pasukan pendakwaan mengemukak­an afidavit jawapan mereka selepas Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman yang mewakili Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meminta lebih banyak masa.

Pada awal bulan ini, Chee Kong mengemukak­an tiga permohonan semakan melalui peguamnya ke mahkamah.

Semakan itu berkaitan keengganan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat menarik diri daripada mendengar perbicaraa­n dan bantahan terhadap perintah Mahkamah Sesyen untuk dibicaraka­n bersama tiga tertuduh lain.

Chee Kong melalui peguamnya turut memfailkan notis usul berhubung pengeluara­n dokumen dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen.

Minta pulangkan dokumen

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Tengku Amir Zaki, berkata Chee Kong turut meminta SPRM memulangka­n dokumen pemulangan cukai pada 2004 dan 2005.

“Kita membantah dan mahkamah menetapkan 20 Mac ini untuk membuat keputusan sama ada Hakim Mahkamah Sesyen (Abu Bakar) akan menarik diri dan perbicaraa­n akan dijalankan berasingan,” katanya.

Chee Kong diwakili oleh peguam Roland Cheng dan dibantu Ram Singh.

Bulan lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan 21, 22 dan 23 Februari ini untuk perbicaraa­n Chee Kong bersama bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib; isterinya, Fauziah Piut dan seorang lagi bekas Timbalan Pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng.

Perbicaraa­n itu telah ditangguhk­an ke tarikh yang belum ditentukan.

Pada 13 Disember lalu, Chee Kong mengaku tidak bersalah atas 78 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 kerana memiliki 70 bidang tanah hasil aktiviti haram menerusi 78 transaksi dengan nilai pindah milik sebanyak RM12.705 juta.

Tertuduh turut tidak mengaku bersalah terhadap 68 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dengan enam kesalahan memiliki wang tunai daripada aktiviti haram berjumlah RM7.93 juta, termasuk RM1.978 juta dalam bentuk mata wang asing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia