Berita Harian

JAS kaji punca ribuan hidupan air timbul di Sungai Oya

-

Kuching: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengkaji punca ribuan hidupan air terutamany­a udang galah dan ikan timbul di Sungai Oya, dekat Dalat, di sini sejak lebih seminggu lalu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau sudah menerima maklumat berhubung kejadian yang menarik perhatian penduduk yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan.

Wan Junaidi berkata, beliau bimbang udang dan ikan itu kemungkina­n mabuk akibat racun rumput atau baja yang ditabur di ladang kelapa sawit yang banyak terdapat di daerah Dalat.

“Sebab itu, kita akan meminta JAS untuk membuat pemeriksaa­n dan mengkaji punca kejadian itu.

“Saya difahamkan jika bahan bertoksik itu masuk ke dalam otak dan perut seterusnya menyerap ke dalam daging udang atau ikan, hidupan air itu tidak selamat dimakan,” katanya.

Justeru beliau menasihatk­an penduduk supaya berhati-hati kerana ikan dan udang itu belum dipastikan tahap keselamata­nnya sama ada bebas daripada pencemaran atau tidak.

Anggap rezeki selepas banjir

Akhbar kelmarin melaporkan penduduk beberapa kampung di Dalat gempar dengan kejadian ribuan udang galah serta ikan timbul di Sungai Oya dan ada yang menganggap­nya sebagai rezeki selepas banjir.

Kemunculan udang galah yang timbul di permukaan dikesan di kawasan hulu sungai berkenaan sejak seminggu lalu sebelum merebak hingga ke kawasan hilir termasuk di pekan Dalat.

Susulan itu, ramai penduduk menyusuri sungai berkenaan untuk mengutip udang dan ikan yang masih hidup.

Walaupun udang di sungai berkenaan dikatakan biasa timbul ketika musim kemarau apabila air sungai bercampur dengan air laut, namun kejadian terbaru itu dikatakan yang pertama berlaku selepas banjir. Bukan sahaja udang galah dan ikan kecil ditemui timbul, malah semalam dua ikan tapah bersaiz besar dengan berat mencecah 70 kilogram turut ditemui penduduk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia