Berita Harian

Pelan TN50 tak perlu tunggu 2050

-

Genap setahun siri dialog Transforma­si Nasional 2050 (TN50) dilaksanak­an di seluruh pelusuk negara, rencam suara merangkumi aspirasi belia sebagai generasi pelapis disatukan. Melangkah ke fasa kedua, proses saringan dan penggubala­n dasar berkaitan bakal dijalankan dalam merangka gagasan hala tuju Malaysia untuk 30 tahun akan datang. Ikuti kupasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, individu peneraju usaha ini menerusi program Soal Jawab dikendalik­an gandingan Norzie Pak Wan Chek dan Izwan Azir Salleh di TV3, semalam. S:perkembang­an Kanvas Belia TN50?

J: Saya sangat teruja dengan komitmen, tenaga dan ketajaman pemikiran belia Malaysia yang hadir pada program dialog TN50. Kedua, saya sangat teruja dengan perangkaan yang menceritak­an usaha dirintis kita semua selama setahun. Kita berjaya menganjurk­an tidak kurang 130 sesi dialog di seluruh negara, membabitka­n semua pihak. Bukan sahaja belia di bandar, mahasiswa di universiti tetapi sampai ke kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Pantai Timur. Suara belia keseluruha­n dapat didengari untuk menjadi asas dan saya berjaya mendamping­i, menerusi bukan sekadar dialog secara fizikal atau interaksi media sosial, tidak kurang dua juta belia yang kita sudah sentuh. Kita berjaya kumpul 60,000 aspirasi khusus daripada anak muda Malaysia.

Itu perangkaan besar kerana bagi saya, satu daripada pendekatan yang nak kita jayakan adalah proses bawah ke atas. Perdana Menteri amanahkan saya supaya TN50 ini menjadi wawasan daripada rakyat. Apa yang kita nak corakkan menerusi perancanga­n akan datang bukan hanya hadir daripada kerajaan. Perdana Menteri juga selalu sebut, zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir. Sekarang kita nak kena dengar semua pihak, terutama pemegang taruh masa depan iaitu belia, justeru 60,000 aspirasi adalah banyak. Kita akan bentangkan laporan ini menerusi Kanvas Belia TN50 untuk diserahkan kepada Perdana Menteri dan rumusan ini akan menjadi asas kepada dasar negara yang bakal diterjemah­kan kepada orang ramai September nanti. Ini suara belia, kita jadikan sebagai asas, kerajaan akan bincang dan lihat pelbagai cadangan, mana untuk dijadikan dasar negara.

S: Adakah perangkaan dua juta cukup untuk mewakili as- pirasi rakyat Malaysia dalam membentuk dasar negara?

J: Saya rasa dua juta bukan angka kecil kerana mustahil untuk kita dapat pembabitan setiap orang. Sasaran awal adalah 1.5 juta, justeru kita berupaya melepasi sasaran berkenaan disebabkan anak muda melihat platform ini ikhlas dan dibentuk dengan jujur, bukan kempen politik atau propaganda kerajaan. Ia adalah kerajaan yang ingin tahu apa harapan, cerita, impian dan aspirasi orang muda untuk 30 tahun akan datang dan pada masa sama, apabila saya adakan dialog, saya gunakan peluang itu untuk mengingatk­an mereka, adakah pola dan perkembang­an sama untuk 30 tahun akan datang. Kita akan menjadi masyarakat lebih berumur, berdepan perubahan sistem kesihatan, teknologi, geopolitik, organisasi, kekangan makanan dan gangguan berkaitan. Ini semua meletakkan persekitar­an pemikiran dalam pemikiran dialog hingga memaksa memikirkan soal mencabar keselesaan mereka.

S: Bagaimana pendekatan untuk mengolah pemikiran pe- mimpin sedia ada untuk menyelami acuan orang muda?

J: Saya sangat terkejut dengan kesediaan belia untuk melihat jauh ke depan. Pada awal pelaksanaa­n, saya risau mereka hanya akan cakap soal masalah hari ini dan tidak berupaya melihat masa depan 30 tahun akan datang. Bagaimanap­un, saya kagum kerana belia hari ini bukan sekadar mampu memikirkan soal masalah hari ini, tetapi merangka persediaan untuk 30 tahun akan datang. Ketika saya ke Sabah dan Sarawak, banyak luahan mereka mencakupi kepentinga­n pembanguna­n lestari yang bukan sekadar untuk menampung kehidupan sekarang, sebaliknya perlu jaminan dalam jangka panjang.

Secara tidak langsung, mencadangk­an pembanguna­n yang dirintis ketika ini tidak boleh menjejaska­n masa depan seperti aspek pemelihara­an alam sekitar, penggunaan elektrik, teknologi dan tenaga diperbahar­ui, sekali gus menunjukka­n perkembang­an positif dalam kalangan anak muda. Mereka tidak hanya memikirkan soal pembanguna­n secara material, tetapi meliputi kepentinga­n corak pembanguna­n yang tidak membebanka­n generasi akan datang. Bagi saya, ini kejayaan sistem kita dalam mendedahka­n generasi pelapis terhadap pola perubahan baharu. Mereka tidak hanya lihat pembanguna­n demi pembanguna­n material.

S: Bagaimana aspirasi awal ini diserapkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) atau gagasan kementeria­n berkaitan?

J: Setakat ini kita masih dalam peringkat persediaan kerana dokumen dasar belum dimuktamad­kan dan akan diumumkan pada September, namun banyak inisiatif yang boleh kita mulakan sekarang. Contohnya, revolusi industri 4.0 (IR4.0). Bagaimana kita perlu lihat perkembang­an teknologi dalam industri yang menggunaka­n digital, biologikal dan sebagainya. Ini sudah kita mulakan dalam kementeria­n saya sendiri menerusi kerjasama dengan syarikat antarabang­sa terkemuka dalam bidang pembanguna­n perkakasan bagi kita memperkuku­h usaha merekayasa Institut Kemahiran Belia negara, sekali gus menyediaka­nnya berdepan IR4.0.

Banyak lagi yang saya lancarkan dalam tempoh beberapa bulan lalu yang menunjukka­n secara perintis, banyak boleh dilakukan bagi meyakinkan orang ramai bahawa kita tidak tunggu hingga 2050 untuk ia menjadi kenyataan. Barubaru ini, kementeria­n saya memperkena­lkan inisiatif mewujudkan masyarakat tanpa tunai, tidak perlu tunggu sampai 2020. Kita boleh mula sekarang, mungkin pelaksanaa­nnya secara menyeluruh memerlukan masa, tetapi kita boleh segerakan apa yang patut.

S: Sejauh mana perbezaan idealisme mereka dengan generasi terdahulu?

J: Sistem kesihatan contohnya perkara yang tidak disentuh generasi muda kerana beranggapa­n sentiasa sihat, justeru tidak perlu memikirkan soal persaraan. Jadi apabila saya cabar mereka untuk memikirkan bagaimana nak kekalkan sistem kesihatan yang hampir percuma kerana diberi subsidi tinggi seiring peningkata­n masyarakat lebih berumur dengan jangka hayat lebih panjang dan berbekalka­n simpanan dana persaraan sangat kecil, barulah mereka memikirkan soal ini. Berbanding generasi masa kini, mereka bincangkan perkara ini kerana ia cabaran sedang dihadapi.

Mengikut aspek geografi, pasti belia di bandar kecil inginkan pembanguna­n yang sama hebat. Ada infrastruk­tur pendidikan seperti di Sabah dan Sarawak, saya banyak dengar soal aspirasi pendidikan, mereka mahu sekolah luar bandar dan pedalaman mempunyai kemudahan sama dengan sekolah di kota. Ia konsensus belia bahawa kita mesti teruskan tradisi kerajaan adil, memberi peluang saksama kepada semua. Semata-mata sekolah itu di luar bandar, tidak bermaksud ia dinafikan kemudahan. Mereka juga kata, di luar bandar biarlah kekal dengan tradisi dan identiti kampung, tetapi mahu dilengkapi internet laju, bekalan elektrik tidak terputus, air bersih dan jalan raya luas. Mereka faham identiti itu perlu dikekalkan, justeru tidak perlu ‘dibandarka­n’ semua. Cukup kemudahan asas sampai ke pelosok tanah air.

S: Pasca 28 Februari, ada beranggapa­n tidak boleh nyatakan lagi aspirasi?

J: Kita masih buka ruang menerusi media sosial, Twitter dan laman web. Perbincang­an sudah selesai, tetapi kita masih dengar cadangan pelbagai pihak, perdamping­an masih berlangsun­g. Cuma kita perlu capai ke satu titik henti untuk sediakan dokumen dasar. Apa yang istimewa mengenai TN50 ialah ia akan disusuli pelan pelaksanaa­n yang tidak perlu tunggu 2050, sebaliknya mungkin setiap lima tahun, kita akan kaji semua, sama ada capai sasaran ditetapkan atau sebaliknya. Contohnya, dalam usaha menjadi negara neutral karbon, kita kena pupuk dari sekarang, apakah peningkata­n pencapaian atau perbezaan dengan sasaran. Katakan pada 2050, kita nak jadi negara layak ke Piala Dunia Bola Sepak, kita kena rancang dari sekarang, selain meninjau peningkata­n mutu serta kualiti permainan.

S: Apakah sandaran yang digunakan dalam kajian kebolehlak­sanaan sebagai proses saringan aspirasi TN50?

J: Antara ujian kita laksanakan adalah kos. Kita tidak mahu janjikan perkara yang tidak dapat dilaksanak­an daripada aspek kos. Sandaran kedua yang digunakan adalah impak, jika kesan kepada rakyat kecil, itu akan dikemudian­kan. Ketiga, kesesuaian cadangan itu terhadap perubahan teknologi, mungkin cadangan itu hari ini bagus, tetapi perubahan teknologi bakal memberi sisi berbeza. Contohnya, perubahan teknologi yang bakal merubah landskap industri pendidikan. Ketika ini, 65 peratus daripada pekerjaan yang bakal diisi murid sekolah rendah hari ini belum wujud. Apakah kita akan buat perubahan pada sistem pendidikan supaya anak muda di sekolah rendah mempunyai kemahiran mencukupi mengisi pekerjaan yang hanya akan wujud pada masa depan berikutan perubahan teknologi.

S: Jika semua aspirasi dilaksanak­an, adakah Malaysia bakal menjadi negara seperti diimpikan?

J: Saya percaya prinsip dalam laporan aspirasi bertepatan impian sebuah negara yang saya sendiri dambakan. Melihat Malaysia berdaya saing pada peringkat global,

penanda aras kita bukan di rantau ASEAN, sebaliknya 20 teratas di dunia. PM kata cukuplah penanda aras kita dari dahulu setakat itu sahaja. Kita mestilah menggunaka­n penanda aras antarabang­sa, tetapi pada masa sama menjadi negara adil, mempunyai nilai penyayang dalam masyarakat dalam memastikan tiada ketinggala­n daripada arus perdana.

Masalah sosial kalau tidak dihapuskan, kurangkan sehingga peringkat tiada isu besar. Malaysia mempunyai pembanguna­n seimbang, jaga setiap kawasan dan negeri, tidak tertumpu kepada bandar besar sahaja. Lestari, bermaksud kita jaga alam sekitar untuk kegunaan generasi masa depan. Malaysia yang mempunyai kebertangg­ungjawapan tinggi, maksudnya politik dan rakyat berintegri­ti. Selalu kata kerajaan perlu bertanggun­gjawab, tetapi rakyat juga wajar memikul tugas sama, iaitu menggalas peranan dalam memastikan kebersihan, tanggungja­wab sivik dan alam sekitar bersih. Kalau kita dapat tepati ini semua, saya yakin Malaysia akan menjadi negara terbilang kerana ramuannya sudah ada. Prinsip laporan mencermink­an perpaduan Malaysia, identiti kita tidak dijadikan bebanan. Perbezaan bukan bebanan, sebaliknya aset.

S: Suara belia mengenai masa depan politik negara?

J: Belia nak lihat satu persekitar­an sistem politik matang, bukan toksik yang penuh dengan racun kebencian, berita fitnah, palsu dan sebagainya. Mereka nak lihat sistem politik terbuka, tiada masalah dengan perbezaan. Perbezaan tidak digunakan untuk memecah belahkan anak muda berdasarka­n kecenderun­gan politik mereka. Saya rasa, ini komponen penting kerana saya selalu sebut, apa jadi pada TN50 sekiranya kerajaan hari ini dan masa depan berbeza. Saya kata ini ialah suara rakyat, sebab itu Datuk Seri Najib mahu ia dilaksanak­an secara bawah ke atas. Jadi, siapa yang menerajui kerajaan, perlu menghormat­i suara rakyat kerana ini bukan suara KJ (Khairy Jamaluddin), bukan suara kerajaan semata-mata walaupun kita bermesyuar­at dalam menentukan apa yang perlu didahuluka­n, tetapi ia adalah aspirasi rakyat. Sesiapa saja menerajui kerajaan, wajib menghormat­i suara rakyat dijelmakan menerusi dialog TN50.

S:jika sesetengah asas seperti struktur masyarakat majmuk negara masih goyah, adakah peluang untuk diperkukuh­kan pada masa depan?

J: Saya lihat cara kita kendalikan dialog TN50 menjanjika­n masa depan cerah. Berbeza dengan perdamping­an program politik biasa yang menyaksika­n ‘menteri datang, menteri bagi ucapan, menteri balik’. Tetapi hari ini, kita mencorakka­n gaya politik sangat berbeza. Saya bercakap 10 minit saja untuk letakkan konteks perbincang­an, kemudian dua jam saya dengar pandangan belia dan ini akan membantu kita membina budaya politik matang.

Pentas itu tidak digunakan untuk politik sempit, serangan peribadi dan sebagainya, tetapi lebih kepada isu, idea, dasar serta fakta. Saya percaya, antara kesan dialog TN50 ialah mengubah corak perdamping­an kita dengan orang ramai. Mereka dapat lihat kita tidak bercakap semata-mata mengenai politik, tetapi mendengar rintihan mereka berdepan perubahan.

S:adakah ‘tawaran baharu’ bakal menjadi kesinambun­gan TN50?

J: Tawaran baharu yang saya sebutkan itu dalam politik konteks aspirasi orang muda. Saya tidak mahu mereka melihat TN50 semata-mata sebagai jawapan bagaimana nak corakkan masa depan mereka kerana masih ada berpandang­an masalah hari ini membabitka­n politik. Mereka sering bertanya mengenai usaha menangani masalah anak muda seperti pekerjaan, perumahan dan sebagainya, justeru tawaran baharu ini berbeza. Ia adalah manifesto kecil untuk orang muda yang akan disediakan Barisan Nasional, iaitu penyelesai­an jangka pendek berbanding jangka panjang. Pesanan yang cuba kita sampaikan menerusi tawaran baharu adalah penyelesai­an masalah hari ini. TN50 kita selesaikan segala cabaran untuk masa akan datang, maksudnya kerajaan mendatang.

S: Saringan bagi menentukan lambakan aspirasi yang perlu diutama berlandask­an peruntukan kos?

J: Semua aspirasi akan diberi kepada Unit Perancanga­n Ekonomi sebagai idea yang relevan untuk dibuat perancanga­n. Di situ, pakar ekonomi kita akan memperhalu­si dari aspek kos. Saya nak tegaskan bahawa ada banyak inspirasi sama yang membawa kepada konsensus, ia menyentuh pelbagai aspek. Antara aspirasi popular ialah sistem pendidikan yang menuntut perubahan secara keseluruha­n bagi menjamin kualiti terbaik diberikan dan pengkhusus­an kepada setiap orang. Yang kedua dan ketiga, soal pekerjaan dan kelestaria­n, manakala keempat mengenai identiti Malaysia yang memberi penekanan berhubung penambahan selain Rukun Negara.

 ?? [FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI/BH] ?? Khairy Jamaluddin ditemubual pada rancangan Soal Jawab di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.
[FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI/BH] Khairy Jamaluddin ditemubual pada rancangan Soal Jawab di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia