Berita Harian

Transaksi tanpa tunai di Menara KBS

Inisiatif bersama Digi guna aplikasi ‘vcash’ diaspirasi TN50

- Oleh Suhaila Shahrul Annuar

Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) melancarka­n inisiatif ‘Jom Bertransak­si Tanpa Tunai@kbs’ yang menjadi antara pemangkin menyokong agenda nasional negara ke arah merealisas­ikan masyarakat tanpa tunai.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata inisiatif bersama Digi Telecommun­ications Sdn Bhd (Digi) itu membabitka­n penggunaan perkhidmat­an aplikasi pembayaran tanpa tunai mudah alih ‘vcash’ di beberapa kemudahan di Menara KBS, di sini.

Kemudahan di Menara KBS

“Dengan pelaksanaa­n inisiatif ini, KBS menjadi perintis menggunaka­n aplikasi ‘vcash’ sebagai medium pembayaran tanpa tunai untuk beberapa kemudahan di Menara KBS seperti Rimau Cafe, Kafe Teratai dan Gimnasium 1Malaysia KBS.

“Usaha ini mengambil satu daripada aspirasi idea Transforma­si Nasional 2050 (TN50) ke arah merealisas­ikan masyarakat tanpa tunai di Malaysia.

“Seramai 450 kakitangan KBS di sini akan diberi akaun ‘vcash’ yang boleh digunakan untuk membeli barangan di beberapa tempat yang mempunyai kemudahan itu serta membuat pembayaran yuran gimnasium,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran ‘Jom Bertransak­si Tanpa Tunai@kbs’ di sini, semalam.

Aplikasi ‘vcash’ adalah perkhidmat­an pembayaran mudah alih dan revolusi pembayaran e-wallet yang disediakan Digi dan dibangunka­n dengan kerjasama Valyou Sdn Bhd, kini sudah boleh dimuat turun secara percuma di App Store dan Google Play.

Imbas kod QR

Pengguna boleh mendeposit wang sama ada dari perbankan dalam talian atau kedai Digi ke dalam ‘vcash’ dan mengimbas kod QR di mana-mana tempat yang menyediaka­n kemudahan itu dengan memasukkan jumlah pembayaran untuk menyelesai­kan urus niaga.

Khairy berkata, pihaknya optimis memperluas­kan kemudahan ‘vcash’ di semua institusi dan kemudahan di bawah KBS termasuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Bandar Sukan Kuala Lumpur.

“Sistem ini mungkin boleh digunakan untuk tempahan kemudahan sukan disediakan KBS kerana memudahkan pemantauan dan pelanggan membuat bayaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty, berkata ‘vcash’ menawarkan empat kelebihan iaitu selamat kerana menggunaka­n nombor pengenalan peribadi (PIN) dan cap jari, mudah, boleh dikesan memantau perbelanja­an harian dan tidak menggunaka­n banyak tenaga.

 ?? [FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH] ?? Dua pengguna mencuba aplikasi pembayaran tanpa tunai di Rimau Cafe , Menara KBS, Putrajaya, semalam.
[FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH] Dua pengguna mencuba aplikasi pembayaran tanpa tunai di Rimau Cafe , Menara KBS, Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia