Berita Harian

2 Datuk dituduh perdaya enam kontraktor RM5.36 juta

-

Petaling Jaya: Dua lelaki bergelar Datuk dihadapkan ke empat Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menipu enam kontraktor berhubung projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia membabitka­n kerugian RM5.36 juta.

Pengerusi Eksekutif Koperasi Hartanah Malaysia Berhad (Kohama), Datuk Jali Sekak, 52, dan pensyarah sambilan, Datuk Dr Mohd Nasirudin Othman, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, Hakim Hilmiah Yusof, Hakim Azwarnida Affandi dan Hakim Mabel S Muttiah.

Turut didakwa atas tuduhan bersubahat dan menyalahgu­nakan wang berjumlah RM2.56 juta berhubung projek rumah mampu milik yang tidak wujud ialah dua isteri Jali, Norhaizan Yahya, 45, dan Nur Nadia Yusof, 30.

Mengikut pertuduhan, Jali dan Mohd Nasirudin didakwa menipu enam kontraktor dengan memperdaya mangsa mempercaya­i projek Perumahan Rumah Mampu Milik 1Malaysia ditawarkan oleh Koperasi Pembanguna­n Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB).

Ia mendorong semua mangsa menyerahka­n wang sejumlah RM5,360,000 sebagai bayaran bon pelaksanaa­n untuk menjadi kontraktor projek perumahan.

Pembinaan yang didakwa akan dilakukan di Segamat, Johor; Kuantan, Pahang; Manjung, Sitiawan dan Bidor, Perak tidak wujud.

Dituduh bersubahat

Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Koperasi Putrajaya Berhad, Putra Heights, Subang Jaya antara September 2013 hingga Februari 2014.

Sementara itu, Nor Nadia didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersubahat dengan empat orang termasuk Jali dan Mohd Nasiruddin untuk melakukan penipuan sehingga mendorong P R Parry, 57, menyerahka­n wang berjumlah RM1.2 juta kepada KPHPB sebagai bayaran bon pelaksanaa­n.

Jali dan Mohd Nasirudin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, manakala dakwaan terhadap Nor Nadia mengikut 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, Nor Nadia mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyalah guna wang RM700,000 milik Abdul Razak Nazri, 57, yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Pro Speed Resources miliknya.

Nor Nadia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Jali turut didakwa bersama-sama Nor Haizan dan Ahmad Sabki Ahmad Yusof, 48, atas tuduhan menipu Mohd Fauzi Sail, 52, yang mendorong mangsa menyerahka­n RM660,000 kepada KPHPB sebagai bayaran bon pelaksanaa­n menjadi kontraktor projek perumahan di Bidor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia