Berita Harian

Seorang lagi mangsa nahas babit tiga kenderaan meninggal

-

Ipoh: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitka­n tiga kenderaan di Kilometer 45.4 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerikjeli di Gerik, Ahad lalu, meninggal dunia kelmarin ketika dirawat di Hospital Taiping (HT).

Kematian terbaru itu menjadikan korban nahas yang membabitka­n Perodua Kenari, Audi dan Nissan Frontier, meningkat kepada lima orang.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superinten­dan Ismail Che Isa, berkata Azizan Desa, 60, yang juga pemandu kereta Audi, meninggal dunia pada jam 6.45 petang.

“Bedah siasat ke atas mayat mangsa dilakukan pada jam 9.30 malam tadi (kelmarin). Punca kematian disebabkan polytrauma,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kemalangan pada Ahad lalu, empat mangsa yang maut di lokasi adalah isteri Azizan, Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan anak mereka, Muhammad Khairul Khawrizmie, 17.

Dua lagi mangsa maut yang menaiki Nissan Frontier, Rosli Zakaria, 54, dan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU), Muhamad Syafik, 22.

Selain empat maut di lokasi kejadian, kemalangan turut menyebabka­n tujuh yang lain cedera, termasuk Azizan dan seorang lagi anaknya, Nurul Khairulnis­a, 19, yang mengalami luka ringan.

Di Sungai Petani, jenazah dibawa ke kediaman keluargany­a di Bandar Perdana, di sini pada jam 3.40 pagi semalam dari Hospital Taiping sebelum disolatkan di Surau Asy-syakirin, Bandar Perdana, jam 11 pagi dan dikebumika­n.

Luka pada organ hati

Anak sulung Azizan, Mohd Rohaizad, 32, berkata pada hari kemalangan, bapanya masih sedar namun terpaksa ditidurkan oleh doktor kerana kecederaan dalaman yang dialami.

“Kami difahamkan arwah mengalami luka pada organ hati dan pendarahan pada paru-paru. Arwah ayah meninggal akibat kecederaan parah pada organorgan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rohaizad berkata, Nurul Khairulnis­a masih dalam keadaan trauma akibat kemalangan itu.

“Dia hanya luka di bawah mata, namun dia masih dalam keadaan trauma dan banyak berdiam diri sejak kemalangan itu,” katanya.

 ??  ?? Keratan akhbar BH 19 Februari lalu.
Keratan akhbar BH 19 Februari lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia