Berita Harian

Laba suku keempat MSM RM13.1 juta

-

Keuntungan bersih pengeluar gula terbesar di negara ini, MSM Malaysia Holdings Bhd merosot 9.1 peratus kepada RM13.1 juta atau 1.86 sen sesaham dalam suku keempat berakhir 31 Disember lalu.

Ia berbanding RM14.4 juta atau 2.05 sen sesaham dalam suku sama tahun sebelumnya.

Penurunan itu dipengaruh­i oleh pendapatan yang lebih rendah yang dicatatkan bagi suku berkenaan, iaitu RM656.1 juta, 21.7 peratus lebih rendah daripada RM838.3 juta yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pendapatan lebih rendah berlaku disebabkan oleh penguranga­n 12 peratus jumlah keseluruha­n dijual bagi pasaran tempatan, manakala untung lebih rendah pula berikutan kos kewangan dan cukai lebih tinggi.

Bagi tahun kewangan 2017, MSM mencatatka­n kerugian bersih RM32.6 juta atau 4.63 sen sesaham berbanding keuntungan bersih RM120.7 juta atau 17.18 sen sesaham dicatatkan pada tahun kewangan 2016.

Pendapatan kumpulan meningkat

Prestasi itu disebabkan oleh kos bahan mentah yang tinggi dan nilai ringgit yang lemah.

Bagaimanap­un, pendapatan kumpulan menunjukka­n peningkata­n 0.29 peratus kepada RM2.67 bilion bagi tahun kewangan 2017, berbanding RM2.66 bilion pada tahun sebelumnya.

Ia disumbangk­an oleh purata harga jualan yang meningkat pada tahun dikaji.

Bagi bahagian gula termasuk penapisan gula, jualan dan pemasaran gula yang ditapis dan dagangan gula, ia mencatatka­n kerugian sebelum cukai sebanyak RM35 juta pada tahun dikaji berbanding keuntungan sebelum cukai RM138.6 juta dalam tahun sebelumnya.

Segmen minyak sawit dan getah berjaya mengurangk­an kerugian sebelum cukai kepada RM2.32 juta pada tahun kewangan 2017 berbanding RM6.37 juta pada 2016.

Mengulas lanjut, MSM kekal optimistik dengan unjurannya bagi tahun kewangan 2018 kerana menjangka mendapat keuntungan daripada operasi yang ditambah baik, harga gula mentah lebih rendah dan nilai ringgit mengukuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia