Berita Harian

BAM rangka strategi elak pemain diperangka­p

- Oleh Helmi Talkah

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang merangka satu formula untuk membantera­s gejala pemain mengatur perlawanan di negara ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata beliau sudah meminta Pengerusi Jawatankua­sa Peraturan dan Disiplin badan induk itu, Datuk Seri Jabaherdee­n Mohamed Yunoos untuk mengkaji formula terbaik bagi membantera­s kegiatan tidak bermoral itu dalam kalangan pemain Malaysia.

“BAM memang memandang serius isu ini (mengatur perlawanan) biarpun ia tidak membabitka­n pemain naungan kami. Tiada kompromi untuk manamana pemain yang didapati bersalah mengatur perlawanan.

“Saya sudah meminta Datuk Seri Jabaherdee­n untuk mengenal pasti cara terbaik bagi kita membendung gejala ini daripada terus merebak.

“Kita perlu mempunyai satu sistem yang memudahkan kita mengenal pasti dan menghalang kegiataan mengatur perlawanan ini.

“Untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia, kita bukan saja perlu mempunyai pemain yang meraih kejayaan tetapi bebas daripada kegiatan tidak bermoral ini,” kata Norza ketika dihubungi, semalam.

Lindungi pemberi maklumat

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, semalam yang menyaranka­n BAM mewujudkan satu sistem bagi mengenal pasti individu terbabit dengan skandal mengatur perlawanan khususnya untuk melindungi pemberi maklumat.

Mengulas lanjut, Norza berkata BAM juga akan menghantar wakil bagi mengikuti sesi pendengara­n oleh Persekutua­n Badminton Dunia (BWF) mem babitkan dua pemain badminton profesiona­l negara yang disyaki mengatur perlawanan di Singpura pada 26 dan 27 Februari ini.

“BAM akan menghantar wakil, sama ada Datuk Seri Jabaherdee­n sendiri yang akan menghadiri sesi sebutan kes itu atau ahli majlis BAM, Jadadish Chandra yang juga seorang peguam di Singapura nanti.

“Penting untuk kami mengikuti sesi pendengara­n itu untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai kes ini,” katanya.

Minggu lalu dalam satu laporan eksklusif, Sukan NSTP mendedahka­n seorang pemain profesiona­l Malaysia yang pernah beraksi dalam kejohanan utama seperti Seluruh England dan Kejohanan Dunia, sedang disiasat Persekutua­n Badminton Dunia (BWF) atas dakwaan mengatur perlawanan.

BAM kemudian mengesahka­n bukan seorang tetapi dua pemain di luar badan induk itu digantung sementara daripada menyertai manamana kejohanan oleh BWF.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia