Berita Harian

Maritim Malaysia tahan 2 lelaki kes bom ikan

-

Semporna: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna menahan dua lelaki warga asing termasuk seorang berusia 80 tahun dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan Pulau Denawan, dekat sini, kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia Semporna, Leftenan Komander Amiludin Yenggah, berkata, hasil maklumat dan risikan selama dua jam, bot dinaiki lelaki warga emas itu bersama seorang lagi berusia 35 tahun dipintas kira-kira 2.8 batu nautika dari pulau berkenaan, jam 8.30 pagi.

“Ketika pemeriksaa­n dalam bot terbabit, kami menemui peralatan untuk mengebom ikan yang digunakan suspek dan pelbagai jenis ikan dianggarka­n seberat 10 kilogram dipercayai ditangkap dengan kaedah pengeboman.

“Kedua-dua suspek juga gagal menunjukka­n dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Amiludin berkata, bot suspek dibawa ke Jeti Azumi Semporna, manakala suspek ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Dalam operasi berasingan, anggota Maritim Malaysia Semporna memintas tiga bot yang mencurigak­an di perairan Pulau Siamil dan Pulau Ligitan pada jam 8 malam kelmarin.

Katanya, pemeriksaa­n mendapati dua lelaki dipercayai pengendali bot gagal melaporkan pertukaran nakhoda (pertukaran pemandu bot), manakala seorang lagi lelaki gagal menunjukka­n lesen bot yang dipandu.

“Semua bot dan tiga lelaki berusia 30 hingga 45 tahun itu ditahan dan diiringi ke Jeti Azumi, Semporna untuk siasatan mengikut Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia