80 tahun penjara, 24 sebatan rogol anak kandung
Petra Jaya: Seorang pekerja am bukan saja terpaksa meringkuk dalam penjara selama 80 tahun, malah dikenakan 24 sebatan selepas Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, mendapati dia bersalah merogol anak kandungnya sejak tiga tahun lalu.
Hakim Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh berusia 40 tahun itu didapati bersalah melakukan perbuatan keji terbabit sebanyak empat kali dalam tempoh tiga tahun.
Bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan itu, bapa kepada empat anak itu dihukum penjara 20 tahun dan enam sebatan dengan hukuman berjalan berasingan berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol anak perempuannya ketika mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Padawan sejak Mac 2015.
Pemuas nafsu
Keputusan mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh dibuat berikutan tindakannya menjadikan mangsa sebagai pemuas nafsu selepas tertuduh bercerai dengan isterinya dengan perbuatan terkutuk berlaku ketika mangsa sedang tidur.
Tidak cukup dengan itu, tertuduh membawa anak kandungnya ke farmasi bagi membeli pil pencegahan kehamilan dan sanggup memaksa mangsa menelan pil terbabit sebelum dirinya dirogol. Perkara itu terbongkar selepas mangsa mendedahkan perbuatan tertuduh kepada ibunya menerusi aplikasi Wechat, sekali gus membawa kepada penangkapan tertuduh beberapa bulan lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash manakala tertuduh tidak diwakili peguam.