Berita Harian

Jambatan Batang Samarahan siap Mei

-

Kota Samarahan: Pembinaan Jambatan Batang Samarahan yang menghubung­kan daerah ini dan Asajaya dijangka siap sepenuhnya Mei ini, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya menjelang Sambutan Hari Gawai.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek pembinaan jambatan berkenaan siap 93 peratus apabila semua kerja kritikal, termasuk struktur utama jambatan yang sudah selesai kerja penyambung­an.

Menurutnya, sebaik jambatan berkenaan siap, ia dijangka dapat digunakan Jun ini, sekali gus mem bawa berita gembira kepada pengguna jalan raya, khususnya mereka yang menyambut Hari Gawai.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan perkembang­an pembinaan jambatan ini kerana mengikut jadual yang ditetapkan, selain kontraktor juga berusaha untuk menyiapkan sepenuhnya projek ini pada Mei ini. Kementeria­n akan memantau rapat projek berkenaan.

“Berdasarka­n taklimat yang diberikan kontraktor, jambatan ini siap sepenuhnya pada 4 Jun depan, namun mereka (kontraktor) jangka ia dapat dipercepat­kan kerana semua kerja kritikal struktur utama jambatan sudah siap sepenuhnya,” katanya selepas mengadakan lawatan mengejut ke tapak projek Jambatan Batang Samarahan, di sini, semalam.

Jimat masa perjalanan

Jambatan bernilai RM93 juta sejauh 774 meter ini merentasi Sungai Batang Samarahan menghubung­kan penduduk Kampung Baru dengan Kampung Tambey di Asajaya selain menjimatka­n masa perjalanan tanpa perlu menggunaka­n feri untuk menyeberan­gi sungai.

Dalam perkembang­an lain, Fadillah berkata, beberapa lagi jambatan yang akan melengkapk­an jalan pesisir pantai di negeri ini kini dalam proses tender antaranya Jambatan Batang Lupar di Sri Aman, Jambatan Batang Rambungan di Lundu dan Jambatan Batang Igan di Mukah.

“Projek terbesar untuk membina jambatan menghubung­kan jalan pesisir di Sarawak adalah Jambatan Batang Lupar sepanjang lima kilometer yang bernilai RM1 bilion yang sudah selesai reka bentuk dan kini dalam proses tender tahun ini.

“Selain Jambatan Batang Samarahan, tahun ini sebuah lagi jambatan akan menghubung­kan Stapok dan Matang dibuka kepada pengguna jalan raya menjelang April ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia