Berita Harian

Datuk direman 4 hari bantu siasatan kes suapan RM3J

-

Putrajaya: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM3 juta dipercayai bagi menutup siasatan kes projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 64 tahun itu yang bermula semalam, dikeluarka­n oleh Majistret Eng Kar Wen, selepas membenarka­n permohonan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini, pada jam 9.10 pagi dengan berbaju lokap SPRM dan bergari.

Suspek ditahan SPRM di sekitar ibu negara, jam 3.30 petang kelmarin.

Difahamkan, suspek didakwa menerima wang daripada syarikat pembinaan utama projek berkenaan selepas dikatakan mampu menyelesai­kan siasatan dijalankan SPRM.

Syarikat itu dipercayai membayar wang RM3 juta kepada suspek menerusi empat transaksi tahun lalu.

Individu kedua reman

Pada pada asalnya, suspek meminta RM4 juta sebagai habuan bagi menutup kes yang dalam siasatan SPRM, namun dikurangka­n kepada RM3 juta selepas rundingan.

Suspek adalah individu kedua yang direman bagi membantu siasatan SPRM kerana dipercayai menerima wang bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut itu.

Rabu lalu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri direman enam hari hingga esok bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan projek itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia