Berita Harian

Antara bookie sukan dan integriti si juara

-

Masih terkesan lagi apabila negara dikejutkan dengan skandal mengatur perlawanan sukan bola sepak pada awal 90-an ketika Liga Semi Profesiona­l mula diperkenal­kan.

Keparahann­ya menjalar ke seluruh pelusuk negara, bukan setakat pemain terbilang dan bintang digilai peminat yang disoal siasat serta diheret ke muka pengadilan.

Ada dibuang daerah dan dihukum penjara, selain terpaksa menggantun­g but akibat digantung seumur hidup daripada bermain oleh badan bola sepak negara dan antarabang­sa.

Pemain bukan saja kehilangan punca rezeki, malah hilang rakan, peminat dan anak isteri. Mereka dicemuh masyarakat dan negara menjadi buah mulut dunia.

Itu cerita kira-kira 25 tahun lalu. Saya kira skandal bookie Liga Semi Pro yang menjadi titik hitam bola sepak dan imej sukan negara secara amnya, sudah terpadam. Sangkaan itu rupa-rupanya meleset.

Rasuah dan pelakunya rupa-rupanya tidak ada batasan waktu, tempat, sempadan dan latar belakang. Apa tidaknya, sejak dua minggu lalu, heboh pula sukan badminton negara buat pertama kali dipalit dengan skandal ‘menjual’ perlawanan.

Setakat ini, dua pemain profesiona­l negara yang bukan bernaung di bawah badan induk Persatuan Badminton Malaysia (BAM), khabarnya menjadi ‘rakan sekutu’ bookie sejak 2013.

Namun, tindakan pantas diambil Persekutua­n Badminton Dunia (BWF) patut dipuji apabila bertindak menggantun­g sementara dua pemain terbabit sebaik mendapat aduan daripada seorang pemain badminton dari luar Malaysia yang sudah lama mengesyaki dua pemain ini bersekongk­ol dengan bookie untuk mengejar habuan, bukannya trofi atau hadiah kemenangan.

Kita ingatkan sukan badminton bebas daripada gejala tidak sihat ini. Mana mungkin bookie dan pemain boleh ‘mempertaru­hkan’ permainan ini.

Cara bagaimana mereka mengatur atau jual perlawanan? Banyak manakah habuan sehingga pemain sanggup menggadaik­an maruah diri dan membunuh karier sukan mereka?

Agak menarik mengamati kenyataan pemain perseorang­an lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam reaksinya terhadap isu ini.

“Saya tidak pernah berdepan situasi ini, mungkin disebabkan saya bukan pemain pilihan, jadi tidak ada orang yang datang berjumpa saya. Hanya mereka yang diletakkan sebagai pemain pilihan akan dihampiri (bookie).”

Amati juga kenyataan jaguh perseorang­an negara yang juga pemain nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei, baginya wang bukan segala-galanya dan tiada jalan mudah untuk berjaya.

Justeru, amat dialu-alukan tindakan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sertamerta mengarahka­n Jawatankua­sa Peraturan dan Disiplin badan induk itu mencari mekanisme terbaik bagi memerangi kegiatan tidak bermoral itu termasuk bekerjasam­a dengan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Rasuah membabitka­n pihak yang memberi dan yang menerima. Justeru memerangi dan membersihk­an amalan jijik dalam sukan badminton ini harus bersepadu meliputi pihak penguatkua­saan.

Hukuman gantung seumur hidup daripada bermain masih tidak mencukupi untuk menggerunk­an penerima habuan. Denda lebih tinggi dan heret mereka ke penjara supaya barah ini dikikis sepenuhnya, termasuk si pemberi.

Badminton dan Malaysia sudah cukup sinonim. Pemain dan skuad negara kita tidak lekang mewarnai pentas antarabang­sa. Malaysia sentiasa digeruni negara lain sehingga sesuatu pertanding­an antarabang­sa menjadi suram tanpa kehadiran wakil negara.

Janganlah ia dimalapkan hanya kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia