Berita Harian

Ekspo Terengganu disambung sehari lagi

-

Kuala Terengganu: Suri rumah, Siti Rokiah Che Abdullah, terpilih sebagai pengunjung ke-400,000 Ekspo Terengganu 2018, sekali gus melayakkan­nya membawa pulang sebuah televisyen LED 45 inci.

Siti Rokiah, 50, dari Kampung Bukit Parit, Marang, yang ditemani suami, Ariffin Embong, 52, berkata tidak menyangka terpilih sebagai pengunjung kerana kunjungan ke ekspo untuk melihat pameran.

“Saya terkejut apabila petugas di kaunter masuk pameran menarik saya ke tepi dan memberitah­u saya adalah pengunjung ke-400,000.

“Mulanya takut juga sebab ingatkan saya ada buat salah ke apa, tetapi rupanya mereka menahan sebab nak bagi hadiah,” katanya di sini, semalam.

Sambutan luar jangkaan

Sementara itu, Ekspo Terengganu 2018 yang dijadual berakhir semalam, disambung sehari lagi sehingga 6 petang ini berikutan sambutan luar biasa.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, sebagai tanda menghargai kesungguha­n rakyat Terengganu untuk terus memeriahka­n ekspo terbesar yang pernah diadakan kerajaan negeri setakat ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankua­sa Kerja Ekspo Terengganu 2015, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, berkata pihaknya berterima kasih kepada rakyat kerana memberi sambutan di luar jangkaan terhadap ekspo berkenaan yang julung kali diadakan.

“Kita hanya menyasarka­n kehadiran pengunjung seramai 400,000 saja tetapi sambutan di luar jangkaan,” katanya.

Ditanya adakah ekspo berkenaan akan dijadikan program tahunan, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.

“Melihat kepada sambutan yang diberikan rakyat Terengganu, ia satu kejayaan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia