Berita Harian

Lelaki koma terkena bom ikan buatan sendiri

-

Kota Bharu: Tulang rahang, pergelanga­n tangan kanan dan telapak tangan kiri seorang lelaki hancur selepas terkena letupan bom ikan dipercayai buatan sendiri di sebuah sungai di Kampung Chengal Bedil, Kuala Balah, Jeli, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Mohd Fadil Abdullah, 27, yang koma akibat kejadian itu dikatakan keluar rumah ke sungai di kampung terbabit berseorang­an dengan membawa bom ikan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa melempar bom ikan terbabit ke dalam sungai, namun tidak meletup.

Bom meletup secara tiba-tiba

“Berikutan itu, Mohd Fadil mendekati bom ikan itu sebelum ia secara tiba-tiba meletup sehingga tulang rahang, pergelanga­n tangan kanan dan telapak tangan kiri mangsa hancur sepenuhnya termasuk isi daging kedua-dua kaki, selain turut mengalami luka di badan.

“Mangsa ketika ini dalam keadaan koma dan sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRP II),” katanya selepas Majlis Perasmian Hari Bersama Pelanggan dan Pertanding­an Dikir Peringkat Kelantan sempena Perayaan Jubli Perak Ekspres Mutiara di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Konsortium Ekspres Mutiara (Emutiara), Che Ibrahim Che Ismail dan Pengarah Imigresen Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada keluarga mangsa, namun kertas siasatan tetap dibuka mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

“Kita belum mendapat sebarang maklumat mengenai kejadian terbabit memandangk­an mangsa masih koma dan tiada laporan polis dibuat keluarga mangsa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia