Berita Harian

Tushee lali dipersenda

Penyanyi Amboi Malu mengaku ambil suntikan kolagen kerana terpengaru­h mahu cantik

- Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Solekan & Dandanan: Ayu Kirana Instagram: @sentuhanay­ukirana

Bukan setahun dua, sebaliknya sudah berbelas tahun penyanyi yang popular dengan lagu Amboi Malu dan Katakanlah Kepadaku, Tushee, 43, berdepan sendaan masyarakat. Telinganya juga sudah kebal mendengar pertanyaan yang sama.

Terusik hati? Tidak kerana kata Tushee atau nama sebenarnya, Rohayatuss­hima Mohd Aris, dia sudah lali apabila sering ditanya mengenai perubahan pada raut wajahnya.

Gara-gara perubahan apabila bentuk dagunya semakin tirus dan pipinya semakin menggebu, segelintir pihak melemparka­n tuduhan penyanyi yang mencipta nama pada awal dekad 1990-an itu melakukan pembedahan kosmetik serta menyuntik botox.

“Saya sudah lali dipersenda. Sejak 2003 lagi, saya sering ditanya apakah saya membuat pembedahan plastik kerana wajah saya tidak sama seperti awal kemunculan. Dulu, ramai yang akan menoleh dua kali apabila terserempa­k di tempat awam.

“Ada yang berbisik sesama sendiri, tidak kurang ada yang menunjukka­n reaksi kurang senang melihat perubahan wajah saya. Saya tidak perlu menipu. Memang saya mengambil suntikan kolagen, tetapi sudah lama.

“Namun, saya tidak pernah sesekali melakukan pembedahan plastik atau menyuntik botox. Percaya atau tidak, terserah kerana saya lebih kenal diri berbanding orang luar,” katanya.

Nafi bedah plastik

Tushee berkata, hatinya tergerak mencuba suntikan kolagen kerana terpengaru­h dengan trend ketika itu semata-mata untuk mendapatka­n kulit yang mulus, cantik dan tegang.

“Ketika itu, kebanyakan rakan artis mengambil suntikan kolagen dan vitamin C. Saya juga tidak mahu ketinggala­n kerana tertarik melihat penampilan mereka. Tidak dinafikan, suntikan kolagen dapat membentuk dagu lebih menarik dan kulit pula semakin gebu.

“Tidak sangka pula, selepas 15 tahun, begini jadinya. Sesekali ada yang mengusik mahu meminjam dagu, tetapi saya hanya ketawa. Saya tahu mereka bergurau dan saya tidak ambil hati,” katanya yang merakamkan album pertama, Jeffary & Tushee pada 1990.

Anak didik Datuk Ahmad Nawab itu berkata, dia sedar perubahan wajahnya semakin ketara apabila berhijab.

“Ketika mula mengambil suntikan kolagen, saya masih belum berhijab. Saya akan mendandan rambut supaya dapat menutupi bentuk wajah. Tetapi apabila berhijab dan mengenakan anak tudung yang membentuk dagu, perubahan wajah saya semakin jelas.

“Disebabkan itu, ada yang menganggap, saya melakukan pembedahan kosmetik. Saya tidak terfikir untuk melakukann­ya hanya kerana ingin terus kelihatan cantik. Biarlah begini kerana tiada apa lagi yang perlu diubah,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

 ?? [ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH ] ??
[ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH ]
 ??  ?? Tushee
Tushee

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia