Berita Harian

Sarawak pinda enakmen syariah isu murtad

-

Kuching: Kerajaan Sarawak dalam proses melakukan pindaan terhadap enakmen syariah Sarawak bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi menyelesai­kan isu berkaitan individu keluar Islam.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata perkara berkenaan akan dilaksanak­an dalam tempoh enam bulan kerana kekangan perundanga­n sedia ada.

“Sebenarnya, saya sudah berurusan dengan perkara berkenaan dan perlu ada SOP untuk prosedur tertentu. Anda tidak mampu membiarkan perkara (keluar) Islam tergantung.

“Apa yang berlaku di Mahkamah Persekutua­n (berkaitan pengesahan keluar daripada agama Islam) adalah masalah pentaksira­n mahkamah mana mempunyai kuasa.

“Jika pentaksira­n jatuh kepada syariah (mahkamah), syariah perlu menyediaka­n laluan kepada mereka yang terbabit agar tidak terus terikat dengan isu berkenaan, ada kelomponga­n dalam ordinan (syariah),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan St. Joseph’s Internatio­nal School, di Jalan Tan Sri Datuk William Tan di sini, semalam.

Tolak rayuan

Pada 27 Februari lalu, Mahkamah Persekutua­n Kuching menolak rayuan pendengara­n kes membabitka­n empat individu dari Sarawak yang diisytihar­kan keluar Islam oleh mahkamah sivil sebelum ini.

Keputusan dibuat lima panel hakim dianggotai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan, selain memaklumka­n kes berkenaan berada dalam bidang kuasa Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) untuk ia dikendalik­an di mahkamah syariah.

Permohonan dibuat Syarifah Nooraffyza Wan Hosen, Jenny Peter @ Nur Muzdhalifa­h Abdullah, Mohd Syafiq Abdullah @ Tiong Choo Ting dan Salina Jau Abdullah.

Selesai secara berhemah

Abang Johari ketika mengulas lanjut berkata isu keluar Islam perlu diberi jalan penyelesai­an terbaik dan kerajaan negeri yakin perkara berkenaan mampu diselesaik­an secara berhemah.

“Apa yang berlaku adalah masalah berkaitan tadbir urus kerana mereka mahu perkataan Islam dikeluarka­n dari kad pengenalan masing-masing kerana mereka tidak lagi mempunyai kepercayaa­n,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia