Berita Harian

Cubaan seludup minyak masak tumpas

-

Tawau: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Daerah Maritim 18 Tawau berjaya menggagalk­an cubaan menyeludup lebih 5,000 paket minyak masak bernilai RM13,200 dipercayai untuk dibawa ke negara jiran, awal pagi semalam.

Barangan kawalan bersubsidi itu ditemui sepasukan anggota Maritim Malaysia selepas menahan sebuah bot jongkong yang kelihatan sarat dengan muatan di perairan Logpond, di sini pada jam 8.30 pagi.

Pemeriksaa­n terhadap bot yang dikendalik­an juragan rakyat tempatan itu membawa kepada penemuan 300 kotak berisi minyak masak dalam paket dipercayai cuba dibawa keluar secara tidak sah ke negara jiran.

Pengarah Maritim Tawau, Kapten Maritim Romli Mustafa, berkata juragan bersama seorang pembantu warga Indonesia itu ditahan untuk siasatan lanjut, manakala barangan terbabit dirampas.

“Sepasukan anggota yang sedang terbabit dalam Ops Gasak ternampak sebuah bot jongkong bergerak dalam keadaan mencurigak­an ke arah Sungai Haji Kuning di Pulau Sebatik sebelum ditahan untuk pemeriksaa­n.

Enjin sangkut, bot dirampas

“Pemeriksaa­n mendapati seorang juragan warga Malaysia berusia 27 tahun dan seorang awakawak lelaki warga Indonesia memiliki pasport berusia 32 tahun membawa 300 kotak minyak masak dianggarka­n bernilai RM13,260,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Romli berkata, selain minyak masak pihaknya turut merampas enjin sangkut dan bot jongkong terbabit yang dianggarka­n bernilai RM38,260.

Beliau berkata, juragan dan awak-awak bersama barang rampasan dibawa ke jeti Maritim Malaysia di sini untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK).

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan yang disyaki cuba diseleweng bagi tujuan penyeludup­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia