Berita Harian

Ajai cari pelapis berbakat, berilmu

Komposer terkenal enggan lihat industri muzik ditertawa dengan penyanyi tak berilmu

- Oleh Muhamad Fairoz Azizan

Kehadiran ramai bakat pelapis dalam industri seni bukan saja memeriahka­n lagi ekosistem dunia hiburan, malah ia turut menghadirk­an sebuah persaingan yang seharusnya menggerakk­an bidang berkenaan terus ke depan.

Begitupun, untuk menjadi anak seni sejati, ia bukanlah bermakna bakat terbabit hanya perlu memiliki semata-mata asas dalam lakonan ataupun nyanyian.

Ada masanya, sekadar pengetahua­n dan kemampuan asas belum cukup untuk meletakkan seseorang bakat di tempat sepatutnya dalam industri.

Justeru, bagi memperbetu­lkan tanggapan orang ramai terhadap dunia seni yang dianggap begitu mudah dibolosi sekiranya boleh menyanyi dan berlakon, serta mempunyai pakej fizikal menarik, Ajai berazam mahu melahirkan pelapis yang benar-benar berbakat bagi mencantikk­an lagi industri seni.

Tidak buta muzik

Enggan lagi melihat industri terbabit ditertawak­an gara-gara kemunculan pelapis yang tidak mempunyai bakat, misi pencarian ‘Budak-budak Baru Nak Up’ atau BBNU yang dilakukan syarikatny­a, Wake The Baby, diharap mampu melahirkan insan seni yang dapat mencorakka­n bidang seni muzik pada masa depan.

“Saya tidak mahu industri dikaburi dengan budak-budak tidak berbakat. Apa yang saya buat ini adalah untuk membantu industri bagi melahirkan generasi yang betulbetul berbakat dan boleh menyanyi.

“Saya nak budak-budak baru ini tahu ilmu nyanyian yang betul. Bukan sekadar boleh menyanyi, sebaliknya mereka benar-benar tahu mengenai muzik dan apa yang pendengar inginkan,” katanya kepada HIP.

Cari artis solo, berkumpula­n

Mengakui, tujuannya berbuat demikian bagi mengikut aliran semasa dan memeriahka­n lagi industri muzik, komposer dan penyanyi berusia 42 tahun itu bukan sekadar mencari bakat pelapis solo, sebaliknya berhasrat membentuk dua kumpulan baharu, seperti generasi muzik pada era 1990-an.

Mahu melihat industri muzik tempatan lebih teratur dengan kehadiran ramai penyanyi yang memiliki kredibilit­i dan ilmu dalam seni suara, apa yang dilakukann­ya itu adalah bagi membantu industri agar dipandang tinggi dengan kemunculan artis berbakat.

“Ketika ini, industri muzik memang rancak dengan kehadiran bakat baharu. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang ini kerana masih ramai yang berbakat di luar sana, tetapi mereka tiada tempat ingin dituju. Oleh itu, saya membuka peluang ini kepada anak muda yang benar-benar berbakat untuk turut serta.

“Saya tidak mencari bakat yang sekadar boleh menyanyi dan ada rupa, tetapi seseorang yang tahu apa itu muzik dan apa itu nyanyian. Kalau kita tengok pelapis yang muncul melalui Youtube dan Smule, tidak semuanya boleh menyanyi. Malah, ada yang jadi penyanyi dan meletup dengan satu lagu saja.

“Saya tak mahu lagi melihat industri muzik ditertawak­an kerana melahirkan penyanyi yang boleh menyanyi semata-mata,” katanya.

Terima ribuan e-mel

Bukan saja akan menjadi bahan jenaka masyarakat, sebaliknya kata beliau, industri seni kita akan dipandang rendah pada peringkat antarabang­sa. Bagi memperbetu­lkan tanggapan berkenaan, kehadiran bakat baharu di bawah jenamanya akan dilatih dengan secukupnya, dibekalkan dengan ilmu muzik dan diberikan pendedahan mengenai dunia seni.

“Tiada industri yang mahukan penggiat dan kandungann­ya kucarkacir. Tetapi, apabila sudah banyak lawak yang dicetuskan, di mana bakat kita yang boleh diketengah­kan ke luar?

“Saya sudah membuka pencarian bakat terbabit selama seminggu di Instagram saya, dan saya akan tambah sebulan lagi tempohnya. Buat masa sekarang saya sudah terima beribu e-mel dan saya akan memilih 25 hingga 28 orang yang berbakat untuk dibentuk sebagai penyanyi solo dan berkumpula­n,” katanya.

Sementara itu, Ajai masih mempercaya­i bakat yang sudah pun dimilikiny­a, seperti Salma. Kekuatan penyanyi wanita itu di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32, baru-baru ini, cukup mengujakan banyak pihak yang sebelum ini bagai menafikan kebolehan penyanyi berkenaan.

“Kita percaya kepada rezeki. Soal menang atau kalah juga tidak penting, tetapi Salma sudah membuktika­n keupayaann­ya. Kita bukan nak kejar trofi AJL, sebaliknya mahu membuatkan masyarakat nampak bakat dimilikiny­a,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Ajai dan Salma pada majlis pelancaran MTV Karaoke Akhirnya Cinta di Petaling Jaya.
Ajai dan Salma pada majlis pelancaran MTV Karaoke Akhirnya Cinta di Petaling Jaya.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia