Berita Harian

Usahawan berjaya patut suntik motivasi orang muda

Generasi masa kini perlu ubah minda tak kejar ijazah semata-mata

- Oleh Farhana Syed Nokman dan Ahmad Suhael Adnan

Usahawan yang berjaya mencipta nama di negara ini, perlu menjadi motivator kepada usahawan muda sejajar dengan matlamat mewujudkan Satu Usahawan dalam Satu Keluarga menjelang 2050.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata golongan usahawan sedia ada juga perlu keluar daripada kaedah konvension­al dan beralih pada perniagaan atas talian bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Katanya, generasi muda perlu merebut peluang menjadi usahawan, namun perlu keluar daripada kepompong pemikiran yang sekadar terarah untuk mendapatka­n segulung ijazah semata-mata.

“Kita tahu Revolusi Industri 4.0 membawa kita melihat untuk tempoh sehingga tiga dekad akan datang, dengan perniagaan tidak lagi tertakluk pada sistem sedia ada, sebaliknya tertumpu pada perniagaan atas talian dan kaedah lain yang mengubah landskap urus niaga secara keseluruha­n.

“Generasi muda perlu keluar daripada kepompong pemikiran untuk mendakap segulung ijazah, tetapi juga menjadi golongan yang mampu menjana pendapatan sendiri.

“Peluang terbuka luas di luar sana, tetapi kita harus keluar daripada pemikiran konvension­al. Kerajaan akan beri apa saja bantuan, dana latihan bagi menentukan petanda aras baharu untuk Malaysia menjadi negara maju penuh dengan usahawan,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Kebangsaan Cemerlang (ONE) di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad dan Pengerusi ONE, Datuk Nurulhiday­ah Ahmad Zahid.

Anugerah iktiraf usahawan

Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaik­an Anugerah ONE kepada 80 usahawan cemerlang negara menerusi lapan kategori berbeza.

Anugerah yang julung kali diadakan itu bertujuan mengiktira­f usahawan yang mencapai kejayaan cemerlang, sekali gus mendorong lebih ramai usahawan berusaha mencipta kejayaan.

Kira-kira 1,000 usahawan terkemuka negara hadir pada majlis berkenaan yang dianjurkan penuh gilang gemilang, umpama Anugerah Oscar bagi usahawan negara.

Antara yang diiktiraf pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy Berhad, Tan Sri Shahril Shamsuddin; Pengerusi Hard Rock Malaysia, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, yang menerima Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat.

Selain itu, ikon fesyen, Mohd Azwan Md Nor atau Wak Doyok dan penyanyi dan cef, Datuk Fazley Yaakob (Anugerah Kemahiran Istimewa), Pengarah Urusan Kumpulan Will Group iaitu pemegang francais utama Chatime, Aliza Ali (Anugerah Usahawan Wanita) serta pengasas produk D’herbs, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman (Anugerah Usahawan Industri Kecil dan Sederhana).

Ahmad Zahid berkata, semua penerima Anugerah ONE perlu melanjutka­n pengiktira­fan itu dengan menjadi mentor dan motivator kepada golongan muda dan bakal usahawan.

“Tidak mustahil matlamat satu usahawan satu keluarga boleh tercapai dengan adanya komitmen semua pihak bukan saja kerajaan, tetapi juga syarikat, badan korporat serta badan bukan kerajaan,” katanya.

 ?? [FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI/BH] ?? Ahmad Zahid bersama penerima anugerah sempena majlis Anugerah One di Kuala Lumpur, malam tadi.
[FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI/BH] Ahmad Zahid bersama penerima anugerah sempena majlis Anugerah One di Kuala Lumpur, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia