Berita Harian

FELDA dapat semula 16 lot tanah Jalan Semarak

-

Kuala Lumpur: FELDA secara rasmi memperoleh kembali 16 lot tanahnya yang bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, semalam.

Perkara itu diumumkan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad, pada sidang media khas di Menara FELDA di sini.

Shahrir berkata, ada 17 tanah didaftarka­n atas nama syarikat pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), dan pendaftara­n semula dilaksanak­an secara berperingk­at bulan ini.

“Dua tanah lot terakhir yang diperoleh kembali, didaftarka­n kepada FELDA pada 8 Mac (kelmarin).

“Jawatankua­sa Khas Rundingan yang dilantik 8 Februari lalu, akan memulakan rundingan penambahba­ikan syarat Perjanjian Pembanguna­n 24 lot tanah dengan SPSB,” katanya.

Shahrir berkata, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dengan Ahli Lembaga FELDA akan berunding untuk menilai berkenaan pembanguna­n tanah dan aset kerajaan.

Bagaimanap­un, beliau enggan mengulas lanjut anggaran kos penilaian semula 24 lot tanah berkenaan dan sama ada perjanjian terdahulu berat sebelah.

Katanya, satu perjanjian persefaham­an (MOU) antara FELDA dan SPSB dimeterai pada 15 Januari lalu, mencapai kata putus untuk menggarisk­an tiga perkara.

“Pertama, SPSB akan mengembali­kan tanah atas nama mereka kepada FELDA untuk didaftarka­n semula tanpa sebarang kos.

“Kedua, MOU untuk tambah baik perjanjian antara kedua-dua pihak. Ketiga, siasatan forensik serta audit masih berlangsun­g dan akan diteruskan,” katanya.

Kontrovers­i membabitka­n tanah FELDA tercetus selepas laporan BH baru-baru ini mendedahka­n, FELDA berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembanguna­n Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporatio­n Sdn Bhd l (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunk­annya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu; dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga tahun lalu.

Difahamkan, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC tetapi hanya dimaklumka­n kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospekt­if.

Dalam perkembang­an lain, FELDA menafikan artikel Sarawak Report pada 2 Mac lalu yang antara lain mendakwa kononnya FELDA pernah bersetuju untuk melabur dalam syarikat Ladylaw Securities Pte Ltd.

Shahrir berkata, FELDA tidak pernah meluluskan pelaburan dengan syarikat itu.

“FELDA ingin menegaskan surat dilampirka­n portal Sarawak Report berkaitan persetujua­n pelaburan berjumlah A$1 bilion adalah palsu.

“Pihak terbabit diminta menghentik­an sebaran maklumat palsu ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia