Berita Harian

Janji PH bakal bunuh industri beras tempatan

200,000 pesawah terjejas, tiada kawalan harga makanan ruji

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Langkah Pakatan Harapan (PH) mahu menghapusk­an pemberian lesen tunggal mengimport beras, hanya akan membunuh industri beras tempatan, selain menjejaska­n pendapatan lebih 200,000 pesawah di seluruh negara.

Jejas industri padi negara

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata sekiranya kebebasan diberikan kepada sesiapa sahaja untuk mengimport beras, mereka akan menjual mengikut harga sendiri.

“Ia akan membunuh industri, juga akan menghukum dan menjejaska­n 200,000 penanam padi kita, sekiranya harga beras luar lebih murah, orang tidak akan beli beras tempatan, ini akan memberi ancaman kepada penanam padi seluruh negara.

“Adanya pengimport tunggal, ia memudahkan kerajaan mengawal (keperluan dan permintaan) beras import,” katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmat­an Cemerlang kementeria­nnya di sini, semalam.

Beliau mengulas janji PH menerusi manifeston­ya yang mahu menjamin keperluan asas makanan dan menjaga kebajikan petani, termasuk mahu monopoli diberikan kepada Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dihapuskan.

Terus jadi keutamaan

Ahmad Shabery berkata, usaha menjamin keperluan asas makanan dan menjaga kebajikan petani bukan perkara baharu, malah sudah lama dilaksanak­an Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Misalnya mereka kononnya mahu mewujudkan dasar keselamata­n makanan negara yang lebih baik. Walhal perkara ini sememangny­a diberi tumpuan besar oleh kerajaan.

“Kerana itu dari segi kedudukan dalam kalangan negara ASEAN, soal keselamata­n makanan Malaysia pada kedudukan kedua selepas Singapura, sedangkan negara itu tidak menghasilk­an makanan, tidak ada industri ternakan, berbeza dengan Malaysia, yang mana skopnya lebih luas, termasuk kaedah penghantar­an bekalan makanan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Malah kedudukan kita lebih tinggi dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, ertinya di rantau Asia Tenggara, kita adalah antara yang terbaik dalam menjaga soal keselamata­n makanan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia