Berita Harian

Sanusi meninggal ketika tunggu azan Subuh

-

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, meninggal dunia ketika menunggu waktu solat Subuh di rumahnya dekat Pantai Dalam di sini, pagi semalam.

Anaknya, Akramsyah Sanusi, berkata Allahyarha­m, 75, ditemui ahli keluarga meninggal dunia, dalam keadaan duduk ketika menunggu azan Subuh.

“Malam tadi (kelmarin), beliau kelihatan sihat dan normal. Malah pagi tadi (semalam), Allahyarha­m bangun dan mengambil wuduk seperti biasa.

“Ketika menunggu azan Subuh, kami mendapati arwah sudah tiada. Allahyarha­m pergi dalam keadaan yang baik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Akramsyah berkata, ayahnya mempunyai beberapa penyakit, termasuk masalah jantung.

Jenazah Sanusi selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, kirakira jam 3 petang semalam dengan kehadiran ahli keluarga, saudara-mara serta rakan.

Terdahulu, jenazah disembahya­ngkan di Masjid Saidina Umar Al-khattab, Bukit Damansara selepas solat Jumaat, yang turut disertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Yang turut menziarahi jenazah ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Allahyarha­m meninggalk­an seorang balu, Puan Sri Nila Inangda Manyam Keumala serta tujuh orang anak, iaitu empat perempuan dan tiga lelaki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia