Berita Harian

Laluan Gunung Kinabalu dibuka semula

Pasukan peninjau sahkan tiada kerosakan besar, penginapan selamat diguna

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah dan Junaidi Ladjana

Laluan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu yang ditutup semalam, berikutan gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter malam kelmarin, akan dibuka semula hari ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berdasarka­n keadaan laluan itu yang didapati selamat digunakan selepas pemeriksaa­n, semalam.

“Satu pasukan peninjau seramai 47 orang selesai membuat pemeriksaa­n bermula dari Pondok Timpohon (permulaan pendakian) hingga ke puncak Low (Kilometer 8.72). Berdasarka­n tinjauan yang dilakukan mereka didapati tiada kerosakan besar, hanya kerosakan kecil dan ia sudah dibaiki.

Laluan pendakian selamat

“Laluan pendakian gunung selamat untuk digunakan, manakala bangunan penginapan di Panalaban tidak terjejas.

“Selepas perbincang­an teliti dan muafakat antara pihak terbabit dalam tinjauan itu, semua sebulat suara mengesyork­an kepada saya untuk mengisytih­arkan laluan pendakian selamat digunakan dan dibuka semula kepada orang ramai mulai esok (hari ini),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pasukan tinjauan itu, katanya, terdiri daripada anggota Tamantaman Sabah (TTS), malim gunung, Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), porter dan kakitangan Sabah Sanctuary Lodge (SSL) serta Mountain Torq.

Beliau berkata, Pengarah TTS, Dr Jamili Nais, bersama sembilan kakitangan TTS, MOSAR dan SSL akan bermalam di Panalaban, sebagai langkah tambahan memastikan keadaan kembali selamat dan larangan sementara mendaki Gunung Kinabalu boleh ditarik balik semula esok.

Terdahulu, seramai 130 pendaki di Gunung Kinabalu yang dibawa turun susulan gempa bumi malam kelmarin, tiba di Pondok Timpohon pada jam 4.30 pagi, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim, berkata ketika kejadian, seramai 239 individu berada di Gunung Kinabalu.

“Semua selamat tiba secara berperingk­at dari jam 11.30 malam hingga 4.30 pagi,” katanya.

Menurut Khairul Azuwan, operasi SAR membabitka­n 76 orang pelbagai agensi antaranya bomba termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (STORM), MOSAR, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementeria­n Kesihatan dan kakitangan TTS.

Insiden tidak patah semangat

Sementara itu, seorang pendaki, Rosmawati Mohamed Din, 37, walaupun kecewa selepas misi pendakian dibatalkan, ia tidak mematahkan semangatny­a untuk menunggu giliran baharu yang dijangka hanya dapat diperoleh tahun depan.

Dia bersama rombongan 12 pendaki yang tiba dari Kuala Lumpur terpaksa akur selepas pihak berkuasa menghentik­an aktiviti pendakian sementara waktu, susulan gempa bumi bermagnitu­d 5.2 berpusat di Ranau, malam tadi.

“Ketika itu, kami sudah maklum menerusi laporan berita bahawa aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu dihentikan serta-merta.

“Memang kecewa selepas segala persiapan disediakan. Tambahan pula ini kali pertama saya sepatutnya mendaki gunung,” katanya ketika ditemui di pekarangan Taman Kinabalu, semalam.

Bagi seorang remaja warga Perancis, Hugo Rolland, 15, kejadian gempa bumi itu sangat menakutkan kerana ketika itu dia dan rakan-rakannya sedang tidur sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

“Sangat menakutkan apabila semua penghuni di penginapan Laban Rata berlari keluar dari bangunan.

“Tiba-tiba katil bergegar menyebabka­n kami berempat keluar. Saya hanya menyedari berlaku gempa bumi selepas selamat keluar dari penginapan.

“Situasi begini tidak biasa berlaku. Kami ke sini untuk bercuti, dan syukur semua selamat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia