Berita Harian

TEKUN perkasa wanita

Peruntukan RM100 juta untuk skim Temannita

- Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) memperuntu­kkan RM100 juta untuk program memperkasa­kan usahawan wanita, Temannita.

Menerusi skim berkenaan, usahawan wanita boleh memohon peruntukan berkenaan daripada TEKUN untuk menggalakk­an golongan itu menceburi bidang keusahawan­an, terutama dalam bidang pertanian, makanan dan agro.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata peruntukan terbabit adalah antara bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan untuk menggalakk­an wanita menceburi bidang keusahawan­an.

“Peruntukan daripada TEKUN memang dibuka untuk lelaki dan wanita, tetapi tahun ini kita khususkan sebahagian jumlah peruntukan itu untuk wanita sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Agronita Peringkat Negeri Johor di Kampung Pendas Laut di Gelang Patah, semalam.

Bagaimanap­un, dalam tempoh dua bulan ini kurang 50 peratus yang baru memohon.

Tawar pelbagai bantuan

“Peluang ini dibuka sepanjang tahun ini, jika habis (peruntukan), kita akan fikirkan keperluan untuk menambah atau sebagainya, jika tidak habis, mungkin boleh dibawa ke tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai bantuan sudah ditawarkan sebelum ini seperti bantuan kewangan, kursus perakaunan, bimbingan, geran atau modal menerusi pelbagai agensi di bawah MOA.

Katanya, inisiatif menganjurk­an Seminar Agronita itu juga sedikit sebanyak bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada lebih ramai lagi wanita menceburi bidang keusahawan­an.

“Mungkin tidak ramai wanita yang tahu akan wujudnya bantuan yang disediakan kerajaan, jadi, dengan adanya program yang membolehka­n kita turun padang seperti ini memberi ruang kepada usahawan wanita melihat apa peluang yang boleh membantu mereka meningkatk­an lagi taraf hidup mereka.

“Jadi, saya berharap golongan wanita akan mengubah minda dan sikap mereka dengan merebut peluang yang ada,” katanya.

Pada majlis itu, Tajuddin turut meluluskan peruntukan RM200,000 untuk membina pasar nelayan di Kampung Pendas Laut, dekat sini, bagi membantu nelayan tempatan memasarkan hasil tangkapan mereka tanpa melalui orang tengah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia