Berita Harian

Masjid simbol perpaduan masyarakat berlainan agama

Wacana Hadhari sorot perspektif hubungan antara kaum, isu pembinaan mewah

- Oleh Latifah Arifin

Masjid boleh menjadi lambang perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini seperti yang diperlihat­kan dalam sejarah pembinaan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar.

Sejarah pembinaann­ya dikongsi oleh arkitek yang bertanggun­gjawab dalam rekaan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Datuk Hajeedar Abdul Malik pada Siri Wacana Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Beliau berkata, Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq dibina di atas tanah milik individu berbangsa Cina tetapi berjaya dilaksanak­an kerana wujudnya persefaham­an dalam memahami anutan agama, budaya dan kepercayaa­n masingmasi­ng.

“Pada 1978, kawasan perumahan di Bangsar tidak memiliki bangunan yang boleh dirujuk sebagai surau atau masjid untuk dijadikan pusat komuniti.

“Hasrat kami sebagai penduduk di situ mahu mewujudkan surau saja tetapi hasil usaha dan interaksi dengan penduduk berbilang kaum, akhirnya pemilik tanah, Eng Lian Enterprise bersetuju menyerahka­nnya untuk pembinaan masjid.

“Ramai juga penduduk bukan Islam di sekitar masjid memilih untuk memeluk Islam berkat peranan masjid yang menjadi pusat penghubung di antara masyarakat cuma ia tidak diuar-uarkan,” katanya pada program anjuran Institut Islam Hadhari.

Sementara itu, Pensyarah Seni Bina Universiti UCSI, Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, berkata kewujudan elemen seperti kubah dan menara dalam pembinaan masjid perlu mengambil kira fungsinya serta tidak hanya sebagai seni bina mewah semata-mata.

Bersederha­na dalam bina masjid

Beliau berkata, sirah Rasulullah SAW menunjukka­n kesederhan­aan dalam pembinaan masjid.

“Dalam aspek seni bina, pihak berkaitan seperti arkitek dan jabatan agama perlu menilai apakah perlu dibuat kubah atau menara kerana jika sememangny­a mempunyai fungsi tertentu saja ia boleh dibangunka­n.

“Sebagai contoh, ada masjid yang membina menara bagi mewujudkan pengudaraa­n semula jadi tetapi masalahnya apabila ia bersifat ikut-ikutan kerana ingin meniru rekaan masjid Islam terkemuka zaman silam seperti masjid era Ottoman,” katanya.

Bagaimanap­un, Pensyarah Kanan Pusat Kelestaria­n Turath Islami, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah, berkata Islam tidak menghalang pembanguna­n pesat yang dapat dilihat di kebanyakan masjid di seluruh dunia.

Wan Nasyrudin berkata, ulama sendiri tidak menentang kerja pengubahsu­aian di Masjid Nabawi bagi tujuan keselesaan dan menambah nilai dari aspek keindahann­ya.

“Isu masjid sepatutnya serba sederhana termasuk daripada seni binanya tidak sepatutnya timbul dan jika sesetengah pihak membanding­kan dengan zaman Rasulullah, ia kurang tepat kerana setiap era berbeza.

“Sebagai contoh, zaman awal Islam dulu tidak ada kubah dan menara kerana tiada keperluan tetapi apabila beralih era, masjid semakin besar dan jumlah masyarakat Islam menjadi semakin ramai.

“Waktu itu tanpa alat seperti mikrofon dan pembesar suara, maka kubah dibuat dengan bentuk melengkung supaya menghasilk­an bunyi gema, sekali gus makmum di saf belakang masih dapat mendengar bacaan imam dengan jelas,” katanya.

Beliau berkata, reka bentuk masjid termasuk kubah bukanlah perkara wajib yang perlu ada pada setiap masjid, namun di Nusantara ia ciri istimewa yang mengangkat budaya Islam dan difahami dalam kalangan masyarakat sebagai syiar agama.

 ?? [ FOTO HIASAN ] ?? Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar dibina atas tanah milik individu berbangsa Cina.
[ FOTO HIASAN ] Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar dibina atas tanah milik individu berbangsa Cina.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia