Berita Harian

Kunyah sirih, pinang kurangkan rasa cemas

Kandungan minyak atsiri dalam daun bertindak sebagai bahan penenang

- Oleh Siti Haliza Yusop

Pemberian sirih, iaitu sejenis tumbuhan herba yang mempunyai rasa pedas, sebagai antara hantaran dalam majlis pertunanga­n atau perkahwina­n, menjadi kemestian dalam masyarakat Melayu sehingga hari ini.

Bagaimanap­un dalam banyak jenis tumbuhan, mengapakah sirih yang banyak kali disebut dalam teks Adat Raja-raja Melayu, sekali gus menjadi kemestian dalam perkahwina­n Melayu?

Apakah ia hanya adat yang diwarisi semata-mata atau mempunyai elemen lain di sebalik kekayaan kebudayaan Melayu?

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Junaini Kasdan, berkata minyak atsiri yang terdapat dalam sirih boleh bertindak sebagai bahan penenang apabila digabungka­n dengan arekolina, iaitu bahan alkaloid dalam buah pinang.

Katanya, mengunyah sirih dan pinang dapat mengurangk­an rasa takut, cemas serta gementar yang dialami seseorang yang sangat berguna ketika bertandang, dalam adat peminangan, terutama apabila keduadua keluarga baru kali pertama bertemu.

Khasiat makan sirih

Malah, khasiat mengunyah sirih dan elemen ketenangan yang dibawanya ini pernah disebut oleh penulis Portugis, Tome Pires dalam catatannya melalui Suma Oriental yang ditulis pada abad ke-16.

“Orang dahulu bukan seperti masyarakat zaman ini yang sempat bercinta sebelum berkahwin, sehingga memerlukan sirih dipersemba­hkan ketika meminang.

“Kandungan sirih itu membolehka­n suasana tenang berlangsun­g, terutama jika keluarga kedua-dua belah pihak belum pernah mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, ketika peminangan, tuan rumah akan menjamah sirih dibawa tetamu dan pada ketika itulah mereka akan saling berbual untuk mengetahui mengenai anak masingmasi­ng.

“Fungsi sirih dalam kehidupan masyarakat Melayu itu memperliha­tkan ketinggian akal budi serta kearifan mereka terhadap kebaikanny­a, walaupun kandungan kimia di dalamnya tidak dijelaskan dengan terperinci pada zaman itu,” katanya kepada Sastera & Budaya BH di ATMA, di sini.

Junaini berkata, penyelidik­an dalam bidang farmasi sebelum ini turut mendapati kandungan tanin pada daun sirih turut memberi manfaat kepada kesihatan dalaman wanita dan lelaki, termasuk dalam aspek perkahwina­n.

“Daripada kajian dalam bidang berkaitan, kita dapat melihat pelbagai kelebihan daun sirih dalam hal berkaitan perkahwina­n.

“Bagaimanap­un disebabkan masyarakat Melayu lama sangat menjaga kesantunan, hal itu tidak dibicaraka­n secara terbuka kerana dianggap sensitif atau tabu,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan daun sirih sebagai lambang dalam perkahwina­n juga memperliha­tkan akal budi orang Melayu, terutamany­a dalam hal rumah tangga.

Peranan sirih

“Namun, masyarakat Melayu hari ini menganggap peranan sirih pinang sebagai hantaran dalam majlis pertunanga­n dan perkahwina­n hanyalah sebagai simbol, hingga sewenang-wenangnya menggantik­an sirih asli dengan sirih plastik,” katanya.

Junaini berkata, kefahaman fikiran dan akal budi masyarakat Melayu tidak boleh dilihat melalui bahasa dan budaya semata-mata kerana orang Melayu tidak menuturkan semua yang dalam fikiran, sebaliknya berhati-hati dalam setiap tindakan dan pertuturan.

“Setiap kata-kata beralas dan tindakan juga perlu bijaksana bagi menjaga perasaan serta air muka lawan bicaranya,” katanya.

Beliau berkata, adalah merugikan sekiranya akal budi yang ditunjukka­n orang Melayu ini khususnya berkaitan gastronomi sirih tidak dilestarik­an.

“Sudah banyak ujian makmal dirintis pengkaji dalam bidang berkaitan, justeru ia perlu diperluas kepada kajian klinikal supaya kita akan mendapat manfaat sepatutnya,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia