Berita Harian

Trump, Jong Un setuju bertemu

Dua pemimpin dunia dijangka bertemu Mei leraikan isu nuklear

-

Sukar dipercayai tetapi pada detik ini perkembang­an itu nampak seperti satu realiti yang harus mengundang rasa lega warga global.

Semalam, pemimpin rejim Korea Utara, Kim Jong Un bersetuju bertemu Presiden Donald Trump pada Mei ini - segalagala­nya terarah kepada satu pertemuan bersejarah untuk menamatkan perang nuklear.

Menurut ketua Pejabat Keselamata­n Kebangsaan Korea Selatan, Chung Eui-yong, pemimpin Pyongyang itu sudah komited untuk bertemu dan memeterai perjanjian menyingkir­kan senjata nuklear dari Semenanjun­g Korea.

“Kim berjanji Korea Utara akan mengelak melakukan ujian nuklear atau peluru berpandu lanjut.

“Dia memahami latihan tentera bersama antara AS dan Republik Korea mesti diteruskan dan menyuaraka­n ke Washington untuk menemui Trump secepat mungkin,” kata beliau ketika memberitah­u wartawan di Rumah Putih, kelmarin.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat turut menyuaraka­n betapa dia bersedia untuk bertemu Jong Un dan berpendapa­t isu senjata nuklear Pyongyang yang mengancam semenanjun­g ketika ini boleh dileraikan.

Elak laku ujian nuklear

“Satu pertemuan sedang dirancang,” kata Trump dalam akuan Twitter selepas dia berbual dengan Chung. Pemerhati beranggapa­n ini mungkin percaturan dasar luar negara terbesar sejak beliau mengangkat sumpah selaku Presiden AS pada Januari 2017.

Menurut Chung, pemimpin Pyongyang itu berjanji akan mengelak melakukan ujian nuklear atau peluru berpandu lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson berkata persediaan mengenai pertemuan di antara Trump dan Jong Un akan mengambil masa beberapa minggu.

“Presiden Trump sudah lama menyuaraka­n minat mengadakan perbincang­an terbuka dengan Kim apabila tiba satu waktu yang sesuai,” kata Tillerson.

“Saya percaya penilaian presiden pada masa itu bakal menjadi satu realiti.”

Sementara itu, Menteri Luar China, Wang Yi menggesa AS dan Korea Utara untuk mengadakan pertemuan itu secepat mungkin namun beranggapa­n pertemuan itu ‘mungkin tidak akan berjalan lancar’ seperti diharapkan nanti.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov pula percaya pertemuan di antara Trump dan Jong Un adalah ‘satu langkah ke arah tepat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia