Berita Harian

Bumbung, katil bergegar

Pendaki cerita detik cemas gempa bumi landa Ranau

- Oleh Junaidi Ladjana

“Panik, cemas, takut dan macam-macam lagi bermain dalam fikiran sebaik gegaran pertama akibat gempa bumi.

“Saya dan rakan tidak hentihenti berdoa agar semuanya kembali tenang,” kata Nur Nadia Fariha Madon Mashaid, 24, menceritak­an detik selepas gempa bumi bermagnitu­d 5.2 berpusat di Ranau, pada jam 9.06 malam semalam.

Nur Nadia Fariha yang pertama kali mendaki Gunung Kinabalu berkata, ia adalah pengalaman sulung berdepan detik cemas seperti itu.

“Ibu sempat hubungi ketika berada di kawasan lapang Laban Rata untuk bertanya keadaan saya. Syukur, semuanya selamat,” katanya ketika ditemui di Pondok Timpohon di Taman Kinabalu, selepas dibawa turun dari Laban Rata, pagi semalam.

Nur Nadia ialah antara 130 pendaki dibawa turun oleh pasukan penyelamat dan tiba secara berperingk­at di Pondok Timpohon dari jam 1.30 hingga 4.30 pagi semalam.

Rakannya, Maslina Romli, 29, berkata beliau terbayang tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu tiga tahun lalu.

“Pada mulanya, bumbung (bangunan penginapan) bergegar. Saya ingatkan angin kuat tetapi selepas itu, katil turut bergegar sebelum pekikan meminta penghuni di bangunan penginapan keluar menyelamat­kan diri kerana gempa bumi.

“Saya terus berlari keluar bersama dua rakan ke kawasan lapang berhampira­n penginapan untuk menyelamat­kan diri,” katanya yang berasal dari Perlis.

Ketika kejadian, Maslina berkata, beliau sedang berehat bersama Nur Nadia dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Devagi, 26, di penginapan Laban Rata.

“Sebaik diminta keluar dari bangunan penginapan, kami mengambil peralatan penting lalu keluar ke kawasan lapang. Ketika itu, beberapa gegaran dapat dirasai, selain terdengar dentuman kuat dipercayai runtuhan batu,” katanya.

Sementara itu, Devagi berkata, walaupun kecewa tidak dapat mendaki hingga ke puncak gunung, beliau bersyukur selamat tiba di Pondok Timpohon.

 ?? [FOTO LANO LAN/BH] ?? Sebahagian pendaki yang dibawa turun pada operasi menyelamat di Laban Rata, Ranau, berikutan gegaran.
[FOTO LANO LAN/BH] Sebahagian pendaki yang dibawa turun pada operasi menyelamat di Laban Rata, Ranau, berikutan gegaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia