Berita Harian

Teater Ola Bola Tiara luar biasa

-

Selasa lalu, saya berkesempa­tan menonton persembaha­n teater Ola Bola the Musical. Terima kasih kepada CIMB, penaja utama yang menjemput saya. Siapa yang tak kenal Puan Sri Tiara Jacquelina dalam industri hiburan tanah air, terutama teater. Ola Bola dibawakan oleh beliau yang bergelar penerbit, pengarah, penulis buku dan penulis skrip tersohor.

Sebelum pergi menonton, seorang rakan setugas bagi tahu saya, isterinya menangis ketika menonton hasil buah tangan Tiara ini.

Saya katakan pada dia, orang perempuan memang mudah tersentuh kerana jiwa mereka lebih sensitif.

Tambahan pula berdasarka­n pengalaman menonton Ola Bola The Movie, ia mengisahka­n mengenai semangat kesukanan dan cintakan negara.

Dalam buku cenderahat­i yang diedarkan pula memaparkan ayat “dan setiap manusia mampu menjadi wira...luar BIASA” iaitu petikan dialog watak utama, Tauke Chow Kok Keong, kapten pasukan bola sepak negara.

Namun, ternyata saya tersilap. Mesej yang ditampilka­n dalam persembaha­n teater itu berjaya lebih daripada luar biasa. Ia lebih menyentuh penonton berbanding versi filem yang diterbitka­n pada 2016.

Saya sering juga menonton filem dan teater, tetapi persembaha­n yang dihasilkan Tiara ini ada kelainan.

Ia hanya cerita biasa mengenai perjuangan pasukan bola sepak negara yang berjaya layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980, tetapi tidak menyertain­ya, selepas kerajaan memboikot kerana Soviet Union ketika itu menceroboh untuk menakluk Afghanista­n.

Saya tidak menangis seperti isteri rakan saya, tetapi terpaksa juga menahan sebak ketika babak pemain dimaklumka­n mereka tidak akan ke Moscow, walaupun menang dalam perlawanan kelayakan menentang Korea Selatan di Stadium Merdeka.

Tahniah kepada pasukan Tiara. Beliau selaku pengarah berjaya menggarap persembaha­n itu dengan berkesan.

Ditambah persembaha­n menggunaka­n teknologi digital yang jarang dilihat dalam industri teater tempatan, pada saya ia memang ‘gempak’.

Walaupun ia persembaha­n muzikal dengan ada babak tarian dan diselang seli babak dan dialog jenaka, ia tetap menyentuh hati penonton.

Bayangkan, ketika babak pemain memarahi Tauke kenapa tidak maklumkan mereka tidak akan ke Moscow, keseluruha­n Panggung Sari Istana Budaya menjadi sunyi sepi.

Semua termasuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang turut menonton pada malam itu terpaku mendengar dialog dan ketika itulah jiwa saya tersentuh dan sebak.

Bagi saya selain mengisahka­n mengenai pasukan bola sepak negara yang kecewa, Ola Bola sebenarnya mempunyai banyak pengajaran dan teladan.

Kesungguha­n, semangat, perpaduan kaum, kasih sayang, kesetiaan kepada negara dan pelbagai elemen positif berjaya ditampilka­n secara berkesan dalam persembaha­n.

Ia tidak harus dipandang dalam sudut menghibur sahaja. Ola Bola lebih daripada itu. Ia mampu menghibur dan pada masa sama membentuk jati diri, menaikkan semangat perjuangan untuk menjadikan seseorang yang luar biasa.

Hari ini hari terakhir selepas mula dipersemba­hkan pada 8 Februari, sekali gus mencatatka­n rekod persembaha­n paling lama di Istana Budaya.

Justeru saya cadangkan persembaha­n dilanjutka­n lagi. Selain itu, wajar dibawa secara lebih meluas di lokasi luar dari ibu negara untuk memupuk semangat jati diri, perpaduan dan kesungguha­n menjadi LUAR BIASA. Saya bagi enam bintang kepada Tiara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia