Berita Harian

Veteran tentera bunuh 3 wanita

Insiden tembakan gegar pusat perlindung­an bekas askar AS

-

Mayat tiga tebusan wanita dan seorang penyerang ditemui selepas pihak polis menyerbu masuk sebuah pusat perlindung­an veteran tentera di California.

Terdahulu, pihak polis mengepung pusat perlindung­an itu selama hampir lapan jam, sebaik sahaja dimaklumka­n ia ditawan suspek bersenjata.

Serangan di pusat perlindung­an veteran tentera California-yountville di Lembah Napa itu, dipercayai berlaku pada jam 10.20 pagi (waktu tempatan).

Pusat itu menempatka­n kira-kira 1,000 veteran tentera, termasuk wanita dan ia dipercayai yang terbesar di Amerika Syarikat.

“Anggota penguat kuasa bertindak menyerbu pusat perlindung­an itu pada jam 6 petang (waktu tempatan) dan menemui mayat tiga tebusan wanita dan seorang suspek lelaki di sebuah bilik, disyaki digunakan untuk menahan tebusan.

“Ia adalah satu insiden yang amat menyedihka­n, yang kami harap tidak berlaku sama sekali,” kata jurucakap peronda lebuh raya California, Kapten Chris Childs dalam satu sidang media.

Pejabat sherif keluar amaran

Sebelum ini, pejabat sherif wilayah Napa mengeluark­an amaran menerusi media sosial meminta orang ramai supaya mengelak daripada menghampir­i kawasan itu susulan laporan berlakunya insiden tembakan.

Kejadian itu menyebabka­n peronda lebuh raya California, pasukan sokongan udara dan SWAT menempatka­n anggotanya bagi mengawal keadaan.

Menurut media tempatan, tiga mangsa wanita itu adalah kakitangan The Pathway Home, iaitu satu program perkhidmat­an kaunseling bagi membantu veteran tentera yang mengalami gangguan tekanan pasca trauma atau PTSD.

Manakala, penyerang yang dilaporkan berusia 36 tahun itu adalah peserta program rawatan PTSD dan ketika kejadian beliau dipercayai menyembuny­i peluru pada bahagian pinggang dan lehernya, sebelum menyerang menggunaka­n raifal.

Pathway Home terletak di bangunan berasingan, tetapi dalam kawasan yang sama.

Sementara itu, senator Bill Dodd dilaporkan berkata, antara mangsa yang terbunuh ialah pengarah eksekutif program berkenaan, Christine Loeber, namun identiti mangsa lain belum didedahkan.

Kejadian itu berlaku kurang sebulan selepas seorang bekas pelajar bersenjata­kan senapang membunuh 17 mangsa di sebuah sekolah menengah di Florida.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia