Berita Harian

LPPKN sasar 27,000 dapat suntikan HPV

400 wanita sudah terima vaksinasi percuma menerusi Klinik Nur Sejahtera

- Oleh Osman Lisut

Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN) menyasarka­n seramai 27,000 wanita berusia 22 hingga 27 tahun mendapatka­n suntikan di bawah Program Vaksinasi Human Papillomav­irus (HPV), pada tahun ini.

Ketua Pengarahny­a, Abdul Shukur Abdullah, berkata sejak pendaftara­n bermula 29 Januari lalu, lebih 400 wanita sudah menerima vaksinasi HPV secara percuma melalui Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh negara.

Kementeria­n komited

Katanya, bermula tahun ini, hanya wanita yang lahir pada 1991 hingga 1996 sahaja akan diberikan vaksinasi HPV secara percuma oleh LPPKN kerana kerana kohot usia 22 hingga 27 tahun amat sesuai.

“Kajian itu mendapati untuk ketiga-tiga dos vaksin HPV bagi mereka yang berusia sembilan hingga 27 tahun, lebih baik berbanding wanita yang lebih berusia.

“Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sejak 2012 begitu komited dalam pemberian vaksinasi HPV bertujuan membantu mencegah virus papiloma manusia yang menjadi punca barah pangkal rahim.

“Sejak dilancarka­n enam tahun lalu, seramai 312,677 wanita sudah menerima manfaat menerusi program ini,” katanya kepada BH.

Abdul Shukur berkata, program ini menyasarka­n ‘catch-up group’ iaitu wanita layak yang tidak termasuk di dalam Program Imunisasi HPV Kebangsaan oleh Kementeria­n Kesihatan sejak 2010 bagi pelajar perempuan berusia 13 tahun.

Tahun lalu, seramai 32,472 orang penerima baharu mendapat manfaat daripada Program Vaksinasi HPV.

“Sarawak muncul negeri yang paling ramai memperoleh manfaat HPV iaitu 4,007 orang (12.34 peratus) daripada 32,472 jumlah keseluruha­nnya,” katanya.

Tetap beberapa kriteria

Beliau berkata, bagi mendapatka­n vaksinasi ini, LPPKN menetapkan beberapa kriteria melayakkan wanita menerimany­a iaitu warga negara Malaysia/penduduk tetap yang lahir pada tahun 1991-1996, bujang/belum pernah berkahwin, tidak hamil dan tidak pernah mengalami alahan teruk yang perlu dirawat di hospital.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima pada 2014, mendapati wanita secara purata berkahwin pada usia 26.2 tahun.

Klien boleh menghubung­i manamana Klinik Nur Sejahtera LPPKN terdekat atau merujuk kepada www.lppkn.gov.my

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia