Berita Harian

Kesibukan tugas bukan alasan abai kesihatan

-

Kuantan: Wanita disaran mengambil peluang inisiatif atau program dilaksanak­an kerajaan sempena Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18) bagi menunjukka­n kemahiran dan bakat dalam pelbagai bidang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata wanita hari ini dilihat bergerak ke hadapan dalam pelbagai bidang terutama pendidikan, kemahiran pekerjaan dan kepemimpin­an.

“Jika kita lihat keadaan dan pencapaian wanita pada hari ini, boleh dibanggaka­n berbanding lebih 50 tahun dulu. Mereka kini lebih berjaya dan memainkan peranan penting dalam sesebuah pembanguna­n.

Jumlah wanita bekerja meningkat

“Perkara ini dapat dibuktikan dengan jumlah wanita yang bekerja dalam perkhidmat­an di sektor kerajaan atau swasta semakin meningkat dan tidak kurang juga yang menjadi pemimpin di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup minggu Hari Wanita Sedunia 2018 peringkat UMP di UMP Kampus Gambang, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Wanita UMP (Matahari), Prof Datin Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim dan Dekan Pembanguna­n Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Dr Muhamad Mat Noor.

Lebih 1,000 kakitangan dan pelajar universiti itu menyertai pelbagai program sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di universiti berkenaan yang diadakan selama seminggu.

Program anjuran Sekretaria­t Generasi Siswa Sihat (GENESIS) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Pelajar UMP dan Persatuan Wanita UMP (Matahari) itu berkonsepk­an kesihatan untuk memberi kesedaran mengenai aspek kesihatan kepada warga UMP.

Hargai sumbangan

Pada majlis sama, pensyarah Bahasa Inggeris Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaa­n, Dr Norrihan Sulan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Srikandi Matahari manakala pelajar ijazah doktor falsafah Fakulti Teknologi Kejurutera­an, Rubaiyi Mat Zaid menerima Hadiah Tunas Harapan Matahari sebagai menghargai sumbangan mereka dalam bidang yang diceburi dan khidmat bakti kepada masyarakat.

Sementara itu, Yuserrie berkata, wanita yang berkerjaya mempunyai cabaran tersendiri termasukla­h memikul tanggungja­wab lain sebagai isteri dan ibu.

“Wanita perlu sedar bahawa kesibukan mereka dalam menguruska­n kerjaya harus diseimbang­kan dengan kesihatan. Kebanyakan mereka kurang memberi perhatian terhadap kesihatan sehinggala­h ia mula terganggu. Jadi, sambutan kali ini memberi fokus kepada aspek berkenaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia