Berita Harian

Malaysia di tangga keempat

Malaysian Tigers gagal ulangi aksi cemerlang lawan Argentina pada aksi penentuan

-

Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di tempat keempat selepas tewas 3-2 kepada Argentina pada perlawanan penentuan tempat di Stadium Hoki Azlan Shah di sini, semalam.

Biarpun tewas, pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan Stephen van Huizen yang berjuang bermatian-matian.

Skuad Los Leons yang enggan tewas kali kedua kepada pasukan negara berjaya membolosi gawang Malaysia pada minit pertama perlawanan menerusi Juan Lopez melalui jaringan padang.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan negara kembali mengatur serangan, namun belum pun sempat menyamakan kedudukan, gawang Malaysia bergegar lagi selepas Gonzalo Peillat menyumbat gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-11.

Biarpun ketinggala­n, ia tidak melemahkan semangat pemain untuk merapatkan kedudukan apabila minit ke-24 dan usaha Malaysian Tigers akhirnya berjaya apabila Joel Van Huizen meledakkan gol menerusi jaringan padang.

Samakan kedudukan

Semangat pasukan negara kembali membara apabila Faizal Shaari menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi pukulan sudut penalti.

Permainan kembali sukar buat pasukan kebangsaan apabila Argentina kembali berada di hadapan selepas kapten pasukan, Pedro Ibarra meledak gol ketiga buat pasukannya pada minit ke-49 menerusi pukulan sudut penalti.

Beberapa saat sebelum perlawanan tamat keadaan menjadi tegang dalam kalangan pemain apabila cubaan terakhir Faizal untuk menyamakan kedudukan diterima pengadil, namun selepas meneliti ‘Video Referral’ (VR) gol tersebut dinafikan.

Terdahulu, pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam, India menewaskan Ireland 4-1. BERNAMA

 ??  ?? Pemain Malaysia gagal menewaskan Argentina dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di Stadium Azlan Shah, Ipoh.
Pemain Malaysia gagal menewaskan Argentina dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di Stadium Azlan Shah, Ipoh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia