Berita Harian

Paulus tidak sabar mulakan tugas bantu Soon Kit

-

Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman tidak sabar lagi untuk bertugas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kerana dia masih lagi mempunyai misi yang belum terlaksana ketika kali pertama menjawat jawatan itu, sebelum meninggalk­an kem negara pada 2013.

Bagi pengendali kelahiran Indonesia itu, kepulangan­nya semula ke pangkuan BAM bakal menghadirk­an satu lagi cabaran baru buatnya terutama dalam melahirkan pemain beregu lelaki yang berkualiti selepas membantu ketua jurulatih, Cheah Soon Kit.

“Terima kasih di atas sokongan yang diberikan,” katanya yang akan melapor diri di badan induk berkenaan pada 2 April ini.

Jelasnya, walaupun sudah mengesahka­n jawatan dan kedudukan di dalam BAM, namun bidang tugasnya masih belum diketahui kerana masih belum mengadakan perbincang­an dengan Soon Kit.

“Apa yang boleh saya sahkan ialah memang saya bertugas di bawahnya (Soon Kit), namun mengenai pembahagia­n tugas ia masih belum disahkan lagi,” katanya yang sebelum ini berkelana ke Filipina dan melatih pemain di sana selama empat tahun.

Beri kelegaan buat Soon Kit

Kehadiran Paulus memberikan sedikit kelegaan buat Soon Kit selepas beliau kehilangan pembantu, Rosman Razak yang dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih beregu wanita.

Pengumuman kepulangan Paulus sebelum ini dibuat oleh BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria di Mesyuarat Majlis badan induk berkenaan, Sabtu lalu.

Pelantikan Paulus juga bertujuan memenuhi keperluan mendesak untuk mengukuhka­n lagi pasukan beregu lelaki dalam menghadapi pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand, pada 20-27 Mei.

Selain Soon Kit, bahagian beregu lelaki masih mempunyai seorang lagi jurulatih iaitu Vountus Indra Mawan Saniru yang dilantik Oktober tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia