Berita Harian

FAS tidak akan tarik diri

Persatuan tak sanggup kecewakan penyokong, janji perbaiki kelemahan

- Oleh Aziman Rosdi

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak akan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini meskipun hukuman denda RM1.5 juta yang dikenakan oleh Perkongsia­n Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memberi impak besar kepada kewangan pasukan.

Naib Presiden FAS, Datuk Abdul Rauf Ahmad, berkata mereka akur dengan keputusan hukuman FMLLP itu dan tidak merancang membuat tindakan drastik menarik diri yang dilihat akan membuatkan pemain dan penyokong Selangor sendiri merana.

“Kami tidak akan tarik diri kerana pasukan ini bukan milik persatuan tetapi kepunyaan penyokong serta rakyat Selangor. Kita tak boleh ambil tindakan terburu-buru. Kalau kita tarik diri, pemain akan hilang pekerjaan dan penyokong akan kecewa.

Pasukan pertama kemuka rayuan

“Sebab itu kami menjadi pasukan pertama yang mengemukak­an rayuan. Kami akur dengan kesilapan ini dan akan cuba untuk perbaiki kelemahan dari semasa ke semasa. Cuma kami berharap dengan rayuan itu, hukuman dapat dikurangka­n,” katanya ketika dihubungi.

Selangor dan tiga lagi pasukan Liga Super - Kelantan, Kuala Lumpur serta PKNS FC - paling teruk dikenakan denda RM1.5 juta atas kegagalan melengkapk­an pendaftara­n pasukan Liga M pada 5 Mac lalu.

Enam pasukan Liga Perdana yang membabitka­n Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC pula didenda RM500,000.

Selain itu, pasukan terbabit turut dikenakan hukuman pemotongan tiga hingga enam mata namun ditangguhk­an sehingga 31 Disember ini bagi memberi peluang kedua.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi FMLLP kelmarin menegaskan, pihaknya tidak menghalang mana-mana pasukan mahu menarik diri jika tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Rauf mengakui, denda itu menyebabka­n bajet mereka ‘lari’ biarpun FAM menambah geran tahunan RM3 juta musim ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia