Berita Harian

Syor wujud modul berkaitan gempa bumi

Langkah tingkat pengetahua­n, kurangkan rakyat panik setiap kali bencana berlaku

- Oleh Suzianah Jiffar suzianah@nstp.com.my

Kerajaan diharapkan dapat melihat keperluan mewujudkan modul atau program kesedaran berkaitan gempa bumi dalam kokurikulu­m pendidikan di peringkat sekolah di negara ini, khususnya di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ia penting bagi mengurangk­an panik kepada rakyat sekiranya gempa bumi berlaku, selain memberi pengetahua­n berkaitan tindakan perlu diambil jika bencana itu berlaku.

“Ketika saya menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dahulu, saya minta bomba mengadakan program kesedaran di sekolah, bagaimana mencegah kebakaran.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk kerajaan memulakan program kesedaran berkaitan tindakan atau apa reaksi perlu dibuat jika gempa bumi berlaku, misalnya di mana tempat selamat untuk berlindung jika di rumah. Ini bagi memastikan rakyat tidak panik dalam menghadapi bencana ini,” katanya.

Siasat bangunan sekolah

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Tebobon, Ajmal Jumah dan Yang Dipertua PIBG SMK Tebobon, Taidin Suhaimin.

Dalam perkembang­an berkaitan, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, beliau sudah meminta Pejabat Daerah Kota Belud untuk melakukan siasatan jika ada bangunan terutama sekolah yang rosak susulan gempa bumi baru-baru ini.

Salur bantuan diperlukan

“Pada masa ini mereka masih melakukan pemeriksaa­n dan jika ada keperluan untuk membaiki (kerosakan) kita akan salurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Abdul Rahman meminta warga pendidik di SMK Tebobon mampu melahirkan pelajar yang terbaik di negeri ini.

“Permintaan saya hanya mahu melihat lebih ramai pelajar dari sekolah ini memasuki bidang profesiona­l termasuk jurutera, doktor dan peguam. Ini sejajar dengan komitmen kerajaan dalam pendidikan yang tidak dapat dinafikan lagi.

“Apa yang rakyat minta kita akan beri, tetapi pulanganny­a kepada kerajaan adalah untuk melihat lebih ramai anak muda yang berjaya dalam pendidikan,” katanya.

Pada majlis terbabit, beliau turut menyumbang sebanyak 360 kalkulator saintifik kepada SMK Tebobon, selain meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaik taraf dewan terbuka sekolah berkenaan.

Sudah tiba masanya kerajaan memulakan program kesedaran berkaitan tindakan atau apa reaksi perlu dibuat jika gempa bumi berlaku. Ini bagi memastikan rakyat tidak panik dalam menghadapi bencana ini” Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

 ?? [FOTO EDMUND SAMUNTING/BH] ?? Abdul Rahman bergambar bersama ibu bapa dan guru selepas merasmikan Mesyuarat PIBG SMK Tebobon, di Kota Kinabalu, semalam.
[FOTO EDMUND SAMUNTING/BH] Abdul Rahman bergambar bersama ibu bapa dan guru selepas merasmikan Mesyuarat PIBG SMK Tebobon, di Kota Kinabalu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia