Berita Harian

Tawaran 20 peratus royalti tidak relevan

Kerajaan negeri dapat hak penuh lulus permit syarikat minyak beroperasi di Sarawak

- Oleh Kandau Sidi

Tawaran Pakatan Harapan (PH) memberi 20 peratus royalti minyak untuk negeri pengeluar minyak, sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14, sudah tidak relevan bagi Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr Jemut Masing, berkata kerajaan negeri ketika ini sudah pun mendapat hak dan kuasa penuh terhadap pengeluara­n minyak di Sarawak.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (PRS) itu berkata, tuntutan 20 peratus royalti minyak dalam manifesto PH itu tiada makna kerana kerajaan negeri ada hak penuh meluluskan permit terhadap syarikat minyak yang beroperasi di negeri ini.

Kuasa lebih baik

“Sekarang semua syarikat minyak, termasuk PETRONAS perlu mendapatka­n kebenaran atau permit daripada kerajaan negeri dalam semua bentuk operasi berkaitan minyak dan gas di negeri ini.

“Justeru, Sarawak sudah mempunyai kuasa lebih baik, berbanding tawaran 20 peratus royalti minyak yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan,” katanya ketika merasmikan pejabat Konsortium Bumi Consultant­s And Services Sdn Bhd di sini, semalam.

Masing yang juga Menteri Pembanguna­n Infrastruk­tur dan Pengangkut­an Sarawak berkata, rakyat Sarawak sama sekali tidak akan tertarik dengan manifesto itu.

Malah katanya, kerajaan negeri juga akan memastikan syarikat minyak negara seperti PETRONAS melantik kontraktor tempatan dalam operasi mereka di Sarawak.

“Kita sedar sebelum ini banyak kontraktor mereka (PETRONAS) adalah syarikat dari luar tetapi mempunyai pejabat di Sarawak.

“Pejabat ada tetapi kakitangan tidak banyak dan ruang pejabat pula kosong,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan memastikan PETRONAS melantik kontraktor tempatan yang layak untuk setiap projek ditawarkan.

“Saya tidak mahu kontraktor tempatan mendapat tawaran kerja daripada pihak kedua (syarikat luar) seperti sebelum ini,” katanya.

 ?? [FOTO KANDAU SIDI/BH] ??
[FOTO KANDAU SIDI/BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia