Berita Harian

RM416.6B hilang jika hapus GST, tol, PTPTN, duti eksais

-

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menanggung kehilangan hasil negara berjumlah RM416.6 bilion jika Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST), tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan duti eksais dimansuhka­n.

Ketua Setiausaha Perbendaha­raan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pemansuhan GST akan menyebabka­n negara kehilangan RM45 bilion, manakala tol (RM338 bilion), PTPTN (RM3.9 bilion) dan duti eksais (RM2.4 bilion).

Katanya, pemansuhan itu juga akan menjadikan hutang negara semakin meningkat.

“Kita akan kehilangan RM45 bilion jika mansuhkan GST. Ia satu angka yang besar dan kami tidak memperkena­lkannya begitu sahaja, (tetapi) kami membuat kajian selama bertahun-tahun.

160 negara laksana GST

“Sebanyak 160 negara di dunia telah melaksanak­an GST. Pelbagai peratusan dikenakan, tetapi di Malaysia, kita mengambil enam peratus kadar yang lebih munasabah, tidak begitu membebanka­n ekonomi dan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Irwan Serigar berkata, lebih 500 barangan asas seperti beras, gula dan sayursayur­an tidak dikenakan GST dan GST di Malaysia berbeza dengan GST di negara lain.

Katanya, Arab Saudi akan turut memperkena­lkan GST berikutan negara itu terlalu bergantung kepada minyak dan apabila harga minyak jatuh, hasil kerajaan jadi tidak menentu.

Sehubungan itu, katanya, Arab Saudi sedang berbincang dengan pakar dari Malaysia untuk melaksanak­an GST di negara itu.

Mohd Irwan Serigar turut menjelaska­n ada 19 tol di Lembah Klang manakala 12 tol di luar Lembah Klang dan jika dimansuhka­nnya secara berperingk­at, kerajaan perlu menanggung RM338 bilion.

Mengenai PTPTN, Mohd Irwan Serigar berkata, kerajaan turut memberi pelepasan dengan tidak perlu membayar balik pinjaman itu jika skor pelajar bagus dan diskaun 10 hingga 20 peratus jika konsisten dalam membuat pembayaran balik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia